Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Arahan larang media hubungi ketua polis P Pinang 'salah faham dalaman'

Polis Pulau Pinang dan kumpulan wartawan negeri itu hari ini berdamai susulan isu arahan larangan terhadap media menghubungi ketua polis negeri itu Khaw Kok Chin.

Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (Mutiara) dalam satu kenyataan media selepas pertemuan dengan Khaw berkata mereka dijelaskan bahawa ia berlaku susulan "salah faham dalaman".

"Khaw menjelaskan dasar perhubungan awam yang dipraktikkan kepimpinan beliau sejak mengambil alih tugas di Pulau Pinang adalah lebih terbuka dan mesra-media.

"Beliau juga menegaskan tidak timbul isu beliau tidak boleh dihubungi secara peribadi dan pengamal media tidak pernah disekat daripada menjalankan tugas mereka.

"Beliau berkata apa yang berlaku adalah disebabkan salah faham dalaman dan kesal atas perkara yang berlaku di luar pengetahuan beliau serta perkataan kurang sesuai yang diajukan terhadap pengamal media," kata kumpulan wartawan itu.

Rabu lalu seorang pegawai ibu pejabat polis Pulau Pinang memaklumkan kepada wartawan bahawa Khaw hanya akan membuat kenyataan rasmi "selepas mendapat semua maklumat yang disahkan" berhubung kes tertentu.

Pegawai itu, menurut kumpulan wartawan, menambah bahawa maklum balas daripada Khaw yang diperoleh media secara curi-curi menghubunginya akan dianggap tidak sah dan tidak boleh digunakan sebagai jawapan rasmi ketua polis.

Pegawai itu juga menyifatkan tindakan wartawan mendapatkan berita daripada Khaw secara terus sebagai "melanggar etika kewartawanan."

Walau bagaimanapun, tiada sebab yang dinyatakan untuk arahan tersebut.

Ketika dihubungi, Exco Biro Diplomatik dan Tugas-tugas Khas Mutiara, Selwan Arjunan berkata arahan itu datang secara tiba-tiba.

“Bukan mengenai sebarang perkara atau insiden tertentu. Ia mungkin mengenai sesuatu, tetapi hanya polis yang tahu mengenainya. Ia kebanyakannya dalaman.

“Kami tidak dihalang daripada bertanya apa-apa khususnya. Ia semacam larangan umum,” katanya.

Susulan kritikan itu, Khaw memberitahu Malaysiakini bahawa dia akan bertemu wakil Mutiara hari ini.

Mutiara dalam kenyataannya selepas perjumpaan itu mengucapkan terima kasih atas kesediaan Khaw untuk meluangkan masa untuk bertemu dengan mereka dan melahirkan harapan agar kejadian seperti itu tidak akan berlaku lagi.

"Besar harapan Mutiara agar perkara sebegini tidak berulang pada masa depan dengan jaminan kebebasan dan integriti media dipelihara serta percaya polis Pulau Pinang dan pengamal media dapat terus menjalinkan hubungan yang erat sekaligus memainkan peranan masing-masing kepada masyarakat dengan berkesan," katanya.

Lihat Komen
ADS