Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bahas laporan PAC, bukannya pertikai kelayakan saya'
Diterbitkan:  Jun 9, 2023 9:06 PM
Dikemaskini: 1:06 PM

Mas Ermieyati Samsudin berkata Lim Kit Siang harus bertanya kepada speaker Dewan Rakyat mengapa laporan PAC tidak dibahaskan di Parlimen dan bukannya mempersoalkan kelayakannya sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Dia menegaskan bahawa membahaskan laporan PAC di Parlimen adalah salah satu isu yang diperjuangkan oleh ahli parlimen DAP.

"Seharusnya keutamaan ahli-ahli Dewan Rakyat adalah terhadap perbahasan Laporan PAC kerana ia adalah sebuah laporan yang dihasilkan sebuah Jawatankuasa Dewan Rakyat.

"Malah laporan ini telus serta lengkap dengan kenyataan daripada saksi-saksi terdiri daripada pegawai pengawal kementerian iaitu ketua setiausaha yang mempunyai kuasa eksekutif dan bertanggungjawab penuh dalam urusan perolehan dan kewangan kementerian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selasa lalu, Mas Ermieyati menyertai rakan-rakannya dari Perikatan Nasional (PN) memboikot usul kerajaan untuk membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021.

Apabila perbahasan diteruskan bangku pembangkang kelihatan kosong.

Susulan itu, Lim yang juga bekas ahli parlimen Iskandar Puteri berhujah bahawa Mas Ermieyati tidak layak untuk memegang jawatan sebagai pengerusi PAC, dan harus digantikan oleh timbalannya Wong Shu Qi.

Wong adalah ahli parlimen kerajaan dari DAP. Sejak 2018, PAC telah dipengerusikan oleh ahli pembangkang untuk meningkatkan peranan pembangkang sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan.

Laporan PAC dibentangkan ke Dewan Rakyat sebaik sahaja selesai tetapi tidak pernah dibahaskan sebelum ini.

Sementara itu, Mas Ermieyati menolak tanggapan bahawa perbahasan pada Selasa adalah tidak produktif, dan PAC telah mengumumkan semalam bahawa ia akan menyiasat isu yang dibangkitkan oleh ahli parlimen semasa perbahasan mengenai laporan ketua audit negara (LKAN).

"Persoalan saya kepada Lim ialah apa hasil yang diperoleh kerajaan dalam perbahasan berkenaan? Semuanya retorik politik dan segala isu yang dibangkitkan dalam LKAN kini dalam tindakan pihak berkuasa.

"Sedangkan di PAC, semua isu dalam LKAN disiasat dengan teliti dan terperinci sebelum satu laporan PAC yang mengandungi rumusan dan syor dibentangkan kepada rakyat di Parlimen.

"Daripada Lim mempersoalkan kredibiliti saya sebagai pengerusi PAC, adalah lebih baik bertanya kepada Speaker Dewan Rakyat mengenai perbahasan Laporan PAC kerana inilah yang diperjuangkan selama ini oleh ahli-ahli parlimen daripada parti Lim,” katanya.

Lihat Komen
ADS