GLOBAL | Bekas Perdana Menteri British, Boris Johnson mengumumkan dia meletak jawatan sebagai ahli parlimen (MP) disebabkan tuduhan melakukan penipuan di parlimen mengenai pelanggaran peraturan Covid-19.

Memetik kenyataan pemimpin itu Anadolu melaporkan peletakan jawatan Johnson berkuat kuasa serta-merta. Dia turut menegaskan tidak berbohong di parlimen.

Keputusan itu diambil selepas Johnson menerima laporan daripada jawatankuasa keadilan yang diketuai oleh ahli parlimen untuk menyiasat sama ada dia menipu atau sebaliknya mengenai majlis dikenali Partygate di Downing Street.

Johnson menjelaskan bahawa dia menjadi ahli parlimen sejak 2001 dan memikul tanggungjawabnya dengan serius.

"Saya telah menerima surat daripada jawatankuasa keadilan yang dengan jelas - dan sungguh mengejutkan - menunjukkan bahawa mereka bertekad untuk menggunakan prosiding ini bagi mengusir saya dari parlimen,” katanya

Johnson dituduh menipu mengenai majlis yang diadakan di Downing Street semasa United Kingdom berada dalam sekatan pergerakan Covid-19.

Sementara itu, jawatankuasa keadilan parlimen negara itu akan bersidang pada Isnin ini untuk membuat kesimpulan mengenai siasatan mereka.

Setiausaha Dalam Negeri, Priti Patel, yang dikenali sebagai "sekutu utama Johnson" memberi sokongan bahawa dia berkhidmat untuk negara "dengan cemerlang."

"Dia memimpin dunia dalam menyokong Ukraine, mencapai Brexit, dan dia merupakan perdana menteri yang paling berjaya dalam pilihan raya sejak Margaret Thatcher,” ciapnya di Twitter.

Partygate merupakan gelaran yang diberikan terhadap skandal melibatkan berpuluh-puluh majlis yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri Britain dan jabatan kerajaan semasa pandemik yang didedahkan kepada media.

- Bernama/Anadolu