Jemaah umrah, Musthafa Kamal Abdullah, yang dilaporkan hilang di Makkah pada Dis tahun lalu, disahkan telah meninggal dunia.
Anak sulungnya, Muhammad Nabil, 26, berkata dia sekeluarga reda dengan pemergian ayahnya itu setelah menerima pengesahan daripada Kedutaan Malaysia di Arab Saudi kira-kira jam 11.40 pagi semalam.
Katanya solat jenazah secara ghaib ke atas jenazah Musthafa Kamal - yang merupakan guru sekolah - diadakan di Masjid Jamek Sri Gading selepas solat Jumaat.
“Saya juga diberitahu oleh pihak kedutaan di sana semalam, yang ayah sebenarnya meninggal dunia pada 13 Feb lepas, selepas segala pengesahan biometrik serta pengurusan dan pengebumiannya selesai.
“Kini saya bersama ibu, adik beradik dan ahli keluarga yang lain hanya menunggu dokumen pengesahan kematian ayah.
"Saya agak terkilan kerana baru sahaja diberitahu semalam susulan proses pengesahan kematian daripada pihak Arab Saudi yang mengambil masa lama,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Sri Gading, Batu Pahan hari ini.
Muhammad Nabil yang bertugas di Pejabat Kadi Daerah Batu Pahat itu memaklumkan, pihak Kedutaan Malaysia di Arab Saudi juga baru mengetahui mengenai kematian ayahnya iaitu kira-kira dua hari sebelum memberitahu keluarga.
Selain menunggu dokumen pengesahan kematian, mereka sekeluarga juga mahu mengetahui punca sebenar kematian ayahnya serta lokasi arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Dia juga berhasrat membawa ibu dan empat adiknya untuk menziarahi pusara arwah ayahnya di Makkah dalam masa terdekat.
“Saya menganggap kejadian ini ada hikmah di sebaliknya dan bersyukur ayah meninggal dalam keadaan keadaan yang baik (berihram) serta dalam bulan yang baik (Rejab),” katanya.
Musthafa Kamal, 49, menunaikan umrah bersama anaknya, Muaz, 17, sepatutnya pulang pada 18 Dis lalu namun dilaporkan hilang pada 12 Dis.
- Bernama
