Kerajaan jamin percepat pelaksanaan 453 projek di Kedah
Kerajaan memberikan jaminan untuk mempercepat kemajuan pelaksanaan 453 projek pembangunan fizikal dan bukan fizikal di Kedah pada 2023 yang melibatkan peruntukan keseluruhan bernilai RM1.6 bilion.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Negeri Kedah berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta semua projek diluluskan itu mesti berjalan dalam tempoh masa tahun kewangan berkaitan.
"Perbincangan kami di peringkat jemaah menteri, gesaan perdana menteri kepada semua kementerian apabila peruntukan telah diluluskan untuk memastikan bahawa projek itu berjalan dengan sempurna.
"Perdana menteri minta kementerian-kementerian berkenaan setiap kali mesyuarat jemaah menteri, kami akan ada satu perbincangan khusus untuk memastikan semua yang telah diumum diluluskan mesti berjalan dalam tempoh masa tahun kewangan yang berkenaan," katanya.
Saifuddin berkata demikian kepada pemberita selepas sesi penerangan projek bina baru bengkel mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) Sekolah Kebangsaan Jabi di Pokok Sena.
Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang membuat lawatan ke sekolah itu.
Untuk rekod pada 29 April lepas media melaporkan yang kerajaan menyediakan perbelanjaan yang tinggi bagi Kedah.
Perdana menteri juga dipetik sebagai berkata sebanyak RM1.6 bilion diperuntukkan tahun ini bagi pembangunan Kedah.
Saifuddin berkata mesyuarat kabinet setiap minggu tidak pernah meninggalkan perbincangan berhubung proses memudah cara dan mempercepatkan pelaksanaan projek yang diluluskan kerajaan termasuk dari segi mengelakkan karenah birokrasi.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/04/fdb0bfa2a4c2bbe7cf23f8a3cadee764.jpg)
