MIC tak tentang Sosma tapi perlu guna budi bicara - Vigneswaran
Presiden MIC, SA Vigneswaran menegaskan parti itu tidak menentang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) yang sangat kontroversi pada 2022.
Bagaimanapun, dia menggesa kerajaan dan pihak berkuasa menggunakan akta tersebut dengan niat asalnya untuk memerangi keganasan.
“MIC menghormati kedaulatan undang-undang dan memahami kekangan yang dihadapi polis.
“Bagaimanapun, Sosma hanya boleh digunakan untuk kes seperti keganasan dan tidak sewenang-wenangnya terhadap individu yang hanya disyaki melakukan jenayah,” katanya ketika berucap pada program 'Madani Government: Educational Development and Future of Indians' di Shah Alam hari ini.
Vigneswaran menambah, terdapat undang-undang lain selain Sosma yang boleh digunakan untuk mensabitkan penjenayah.
Tambahnya, pendirian MIC bukanlah pendirian politik sebaliknya mempertahankan hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam perlembagaan.
“Proses yang sewajarnya mesti dihormati,” katanya.
Sosma ialah undang-undang kontroversi yang membenarkan penahanan sehingga 28 hari tanpa waran.
Undang-undang itu juga membenarkan pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada superitendan menafikan hak tahanan dilawati saudara terdekat atau peguam mereka sehingga 48 jam, jika terdapat alasan munasabah untuk berbuat demikian.
Hak tahanan di bawah Kanun Prosedur Jenayah - termasuk hak untuk mendapatkan akses segera kepada peguam - tidak terpakai di bawah Sosma.
Keperluan mendapatkan perintah reman daripada majistret jika tahanan terpaksa ditahan lebih 24 jam juga tidak terpakai sekiranya Sosma digunakan.
Mac lalu dilaporkan sebanyak 624 tangkapan dilakukan di bawah Sosma pada 2022, di mana 401 individu telah disabitkan kesalahan.
Seramai 71 lagi telah didakwa dan menunggu perbicaraan manakala 12 lagi sedang menjalani perbicaraan. Seramai 140 tahanan telah dibebaskan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/72cd07888c096f6f9912bc91efc8ac6a.jpg)
