Paling Popular
Terkini

Hampir tengah malam di pekan Tanjong Karang, Selangor yang sunyi, tetapi penduduk tempatan yang pada malam itu berkumpul di program kempen Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk menangguhkan tidur mereka.

Ketawa kedengaran bergema di kompleks PAS - terletak betul-betul di tengah-tengah ladang kelapa sawit - pada 3 Jun.

Punca di sebalik keriuhan itu ialah Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Pemimpin berusia 48 tahun itu menyampaikan ucapannya dengan nada yang agak tinggi, disertai dengan isyarat tangan dan pelbagai jenaka.

Seseorang yang serius pun mungkin sukar untuk tidak mengukir senyum semasa ucapannya.

“Di Kedah, depa (mereka) terpaksa sedia bus. Buang bumbung sekerat, sedia treler, nak bagi orang nampak muka depa. Beratur atas tu, duk lambai. Orang tak balas.

"Orang tak boleh terima kerajaan style apa? Bagi gaji mahal-mahal jadi menteri dan timbalan menteri. Hang dok pi naik bus tak ada bumbung pasai apa? Pi buat Kerja la! Itu (naik bas) bagi ahli sarkas," katanya merujuk pada pelancaran bas dua tingkat oleh kerajaan persekutuan pada April untuk memikat pengundi Kedah menjelang pilihan raya negeri (PRN).

Walaupun gelagatnya yang riuh rendah mungkin dianggap "kasar" oleh ramai pihak, dia menjelaskan bahawa itu adalah gaya ceramahnya.

"Yang dalam kempen pilihan raya, bercakap kenalah kutuk kalau tak orang tidur. Kena ada joke (lawak), kena ada benda serius, benda ringan.

"Sebab ada yang mai ni semua macam-macam orang. Kena santuni semua. Kena ada benda serius. Orang yang nak ambil ringan-rungan, relax malam-malam ni, saya buat joke," katanya dalam loghat Kedah yang pekat.

Namun tidak semua orang begitu menerima jenakanya.

Sehari sebelum memulakan kempen di Selangor, pengarah pilihan raya PN itu berada di Pulau Pinang untuk berucap dalam ceramah, dalam usaha untuk merangsang sokongan kepada rakan gabungan mereka, Gerakan.

Bagaimanapun, dalam ucapannya di Permatang Pauh, dia sekali lagi mengundang kontroversi apabila menggunakan perkataan Hokkien, merujuk kepada kemaluan lelaki, menyebabkan seorang ahli parlimen DAP membuat laporan polis terhadapnya.

Sanusi mungkin dilihat kurang sopan dan kelihatan cenderung untuk cakap lepas, tetapi ciri-ciri ini dekat dengan rakyat biasa yang disasarkan oleh PN.

Itulah sebabnya PN secara berterusan mengerahkan Pesuruhjaya PAS Kedah itu untuk memasuki negeri yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) menjelang PRN.

Membesar dalam keadaan miskin

Sanusi adalah anak ketujuh dalam keluarga tiga belas adik-beradik.

Anak jati Sik itu menitiskan air mata apabila mengenangkan bagaimana dia dibesarkan dalam keluarga miskin tegar, dengan bapanya mengambil banyak pekerjaan untuk menyara mereka.

Dalam temu bual dengan Sinar Harian pada 2020, dia tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan hidangan hariannya semasa kecil - nasi dengan garam atau belalang goreng, dengan sebutir telur dibelah lapan untuk dia dan adik-beradiknya.

Sebelum menjejakkan kaki dalam politik, graduan Universiti Sains Malaysia itu berkhidmat sebagai penilai eksekutif di Jurunilai Bersekutu (M) Sdn Bhd serta pengarah pendidikan untuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Pada 2008, dia bertanding di DUN Belantek tetapi dikalahkan oleh Mohd Tajuddin Abdullah dari Umno.

Dia kemudiannya dilantik sebagai setiausaha politik kepada menteri besar PAS Kedah sebelum ini – Allahyarham Azizan Abdul Razak – dari 2008 hingga 2013.

Pada pilihan raya umum (PRU) 2018, Sanusi muncul sebagai pemenang di kerusi DUN Jeneri selepas menewaskan calon Umno, Mahadzir Abdul Hamid dan Mohd Nazri Abu Hassan dari Bersatu.

Pada Mei 2020, Sanusi dilantik sebagai menteri besar Kedah, menggantikan Mukhriz Mahathir selepas perebutan kuasa yang sengit di negeri utara itu berikutan Langkah Sheraton.

Sejak itu, dia menjadi perhatian umum - sama ada di skrin, di pentas, di media sosial atau di padang - meraih pengikut yang ramai.

Tidak lama selepas memegang jawatan, Sanusi telah dipilih untuk mengetuai Persatuan Bola Sepak Kedah. Sanusi yang dikenali sebagai peminat bola sepak malah memberi dirinya gelaran "Lionel Nussi," parodi kepada nama pemain bola sepak Argentina, Lionel Messi.

Dia mendapat populariti - dan terkenal - di kalangan peminat bola sepak tempatan selepas berbalas kata-kata sindiran dengan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang merupakan pemilik pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Dari situ, Sanusi meraih sokongan penyokong pasukan bola sepak Kedah.

Serampang dua mata

Dianggap sebagai orang kepercayaan rapat Sanusi, Ketua Penerangan PAS Kedah Mohd Azam Abd Samat berkata Sanusi adalah seorang pemimpin yang komited.

Setelah mengenali Sanusi selama 16 tahun, Azam memberitahu Malaysiakini bahawa pemimpin PAS itu tidak berniat buruk apabila bersuara.

"Mungkin perbezaan sokongan politik itu yang ada yang dengar macam kasar. Kalau nak tengok orang dulu, lebih kasar.

“Contoh, ada pimpinan dulu yang tak nak dengan PAS, sebab 'PAS melacurkan anak'.Perkataan itu kasar kan?" katanya.

Ini merujuk kepada kenyataan Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar pada 2020, yang menyifatkan PAS sebagai "ibu bapa kaki judi yang nak lacurkan anak".

Mahfuz berkata demikian selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awag melabel Amanah sebagai anak derhaka.

Ketua Penerangan PAS Kedah Mohd Azam Abd Samat

Azam berkata Sanusi tidak akan mengeluarkan perkataan sekasar itu.

"Sanusi tak sebut sampai benda macam tu. Apabila kita duduk berkawan dengan dia, dengar ucapan dia, dia sebut (tentang) rakyat, kemiskinan, tentang masalah yang sedang berlaku," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu menegaskan Sanusi adalah seperti mana-mana rakan partinya.

“Dia tidak terlalu berbeza sebenarnya. Walaupun dia bukan berasal dari sekolah tahfiz, dia mempunyai ajaran dan ilmu asas Islam yang sangat kuat.

“Selain pandai membuat jenaka, dia mempunyai perwatakan yang baik dan dekat dengan orang ramai terutama orang Melayu.

“Dia boleh menjelaskan perkara serius dengan cara yang orang biasa faham dan itu bakat yang tidak ramai pemimpin ada,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Faizal, yang lebih dikenali sebagai Peja, berkata Sanusi yang dikenalinya adalah seorang yang jujur dan “bukan seorang yang mencari musuh”.

“Kadang-kadang orang mesti faham dari mana dia datang, ia boleh nampak sebagai ‘kasar’ (kasar) tetapi dari daerahnya – dia dari Sik – begitulah cara mereka bercakap," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal berpendapat bahawa sikap Sanusi yang cakap lepas akan memberi kesan kepadanya.

“Setakat ini dia menekan semua butang yang betul. Tetapi kadangkala, ahli politik perlu ada batas tentang bagaimana mengatakan perkara tertentu. Kadang-kadang, ada perkara yang anda tidak perlu sebutkan, anda simpan sendiri.

“Pemimpin seperti Sanusi.. Tidak salah untuk menyuarakan pendapatnya, dia ada haknya tetapi kadangkala ia akan memberi masalah kepadanya.

“Ia boleh menjadi aset, tetapi ia juga boleh menjadi bumerang. Jika orang ramai bercakap mengenainya, ia boleh menjejaskan imejnya sebagai ahli politik,” katanya.

Profesor Universiti Utara Malaysia Mohd Azizuddin Mohd Sani berkongsi sentimen yang sama, berkata reputasi Sanusi sebaliknya boleh menimbulkan masalah kepada PN dan boleh menjejaskan peluang kemenangan gabungan itu di Kedah semasa PRN.

“Bagi saya, Kedah Darul Aman. Kedah sentiasa mahukan keadaan aman, tidak terlalu kontroversi dan tiada konflik.

“Cara Sanusi mentadbir Kedah sekarang tidak terlalu sihat, untuk partinya dan rakyat Kedah.

“Bagi rakyat tempatan biasa, mereka mahukan hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan supaya mereka dapat meraih manfaatnya,” katanya.

Azizuddin berpendapat Sanusi merupakan watak yang unik tetapi agak meragui popularitinya.

Tingkah laku Sanusi yang membuat dakwaan dan tuntutan yang mengejutkan bagi pihak negeri yang ditadbirnya, katanya, adalah sangat tidak sesuai untuk seorang menteri besar.

“Terdapat autoriti dalam kata-katanya dan ia boleh dijadikan dasar.

“Saya fikir ia sangat jelas untuk melihat bahawa dia mengalihkan isu yang membimbangkan orang Kedah kepada isu lain. Dia tidak selesa bercakap tentang banyak isu negeri yang belum diselesaikan seperti pembangunannya, masalah air dan dasar negeri.

"Apa yang dia katakan setakat ini hanyalah untuk menjadikannya kontroversi, relevan dan popular," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, saintis politik Azmil Mohd Tayeb berpandangan bahawa pengaruh Sanusi tidak dapat dinafikan.

Azmil Mohd Tayeb

Mengakui watak Sanusi sebagai ahli politik yang "bising" atau kerana sesetengah orang bandar mungkin menggelarnya sebagai "badut", Azmil berkata mereka yang memandang rendah kepada Sanusi melakukannya "atas risiko mereka sendiri".

“Dia bukan semata-mata melakukannya kerana dia memerlukan orang ramai, tetapi dia melakukannya dengan sengaja. Ia dapat sambutan dengan demografinya.

"Berbalik kepada isu Pulau Pinang, ia dapat sambutan baik di Kedah. Saya rasa itulah sebabnya dia melakukannya.

"Dia seorang ahli politik yang bijak, itu yang boleh saya katakan tentang dia," tambahnya.

Mengibaratkan Sanusi seperti bekas presiden AS Donald Trump, Azmil berkata penyokong Sanusi akan menawarkan sokongan tidak berbelah bahagi kepadanya menjelang PRN.

"Ia hampir seperti 'kesan Trump'. Trump boleh menjadi agak kasar.

“Anda melihat taktik yang sama. Dengan Trump, anda tahu betapa setianya pengikutnya dan itulah yang mereka harapkan daripadanya, berbanding ahli politik yang lebih tertib yang sudah terlalu biasa,

“Saya rasa Sanusi mempunyai kesan seperti itu kepada orang ramai juga. Itulah yang menjadikannya popular," katanya.

Dalam era di mana politik partisan semakin berakar umbi, tidak mungkin Sanusi akan menarik mana-mana penyokong PH dalam pilihan raya negeri akan datang.

Sebaliknya, ujian sebenar bagi bintang PAS yang sedang naik itu ialah sama ada dia boleh menggunakan daya tarikannya untuk memenangi PRN yang semakin hampir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS