Lawyers for Liberty (LFL) membidas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki kerana cuba memberikan “penjelasan” mengenai kematian seorang tahanan ketika berada dalam siasatan agensi itu.

Pengarahnya, Zaid Malek berkata, Azam tidak seharusnya tergesa-gesa membuat kesimpulan dalam kes itu memandangkan polis baru sahaja memulakan siasatan.

“Terpulang kepada polis untuk menyiasat dan mengumumkan penemuan atau merujuk perkara itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Tiada rumusan boleh dibuat pada ketika ini sama ada terdapat atau tidak perbuatan keji dalam kematian ini, seperti yang dilakukan oleh Azam dalam kenyataannya,” kata Zaid dalam satu kenyataan hari ini.

Dia merujuk kenyataan Azam mengenai kematian seorang suspek warga emas yang meninggal dunia semalam, kurang 24 jam selepas dia ditahan berhubung aktiviti perlombongan mineral di Pahang.

Azam berkata lelaki berusia 60-an itu disoal siasat di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Putrajaya.

Mengulas lanjut, Zaid berkata Azam adalah "pihak yang berkepentingan" kerana kematian itu melibatkan pegawainya dan berlaku ketika tahanan SPRM.

“Ini sepatutnya jelas kepada ketua pesuruhjaya yang sepatutnya tidak membuat komen lain kecuali mengatakan bahawa perkara itu dalam siasatan polis.

"Kenyataan awam seperti ini mengenai siasatan polis yang sedang dijalankan berpotensi untuk mempengaruhi atau mengganggu siasatan sedemikian," jelasnya.

Zaid seterusnya menggesa Ketua Polis Negara membentuk unit siasatan khas dari ibu pejabat polis Bukit Aman bagi menyiasat kejadian itu.

“Memandangkan kematian mengejutkan Teoh Beng Hock pada 2009 dan Ahmad Sarbani Mohamed pada 2011 semasa dalam tahanan SPRM, polis mesti memandang serius perkara ini dan mengutamakan siasatan berkenaan yang mempunyai kepentingan awam yang serius.

"Siasatan mestilah telus, saksama dan pantas. Tindakan tegas di bawah undang-undang mesti diambil sekiranya mana-mana anggota SPRM didapati bersalah dalam apa jua cara dalam kematian mambabitkan tahanan ini," katanya.