Seorang lelaki dihukum penjara dua tahun sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Sandakan hari ini selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan khianat.

Ia membabitkan pertuduhan menyimbah cat merah pada pintu hadapan empat rumah di Batu 7 Sandakan, serta satu kes ugutan jenayah sejak Nov tahun lepas.

Majistret Mohammad Azeem Mohd Ridzo menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi setiap tiga pertuduhan ke atas Mohd Hasifuddin Yamin, 34, dan memerintahkan ia dijalankan serentak mulai 22 Nov 2022.

Mengikut pertuduhan, Mohd Hasifuddin melakukan kesalahan itu di Taman Murni pada 22 Nov, Taman Kenari pada 21 Feb lalu dan Taman Bahagia pada 16 Mei.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, Mohd Hasifuddin mengaku bersalah di hadapan majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali terhadap kesalahan serupa membabitkan rumah di Taman Nuri pada 22 Mac lepas.

Dia kemudian dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan yang diarahkan dijalankan berasingan daripada hukuman dijatuhkan Mohammad Azeem.

Mohd Hasifuddin turut mengaku bersalah di hadapan Wan Farrah Fariza atas kesalahan mengugut secara jenayah seorang lelaki bernama Samri Sutir dengan cara meninggalkan nota amaran supaya lelaki itu segera menyelesaikan hutang.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah teres di Taman Sejati, Batu 7 pada jam 4.13 petang 19 Feb.

Dia didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan sejak tarikh ditangkap iaitu semalam.

Bagi kelima-lima kes, Mohd Hasifuddin yang tidak diwakili peguam merayu dijatuhkan hukuman denda kerana mempunyai isteri dan empat anak dengan tiga daripadanya masih bersekolah.

Bagaimanapun, pegawai pendakwa ASP Zamri Zakaria memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana kesalahan berkenaan serius dan melibatkan kepentingan awam.

- Bernama