Seorang guru dari Iskul Sama Di Laut Omadal, sebuah sekolah yang dikendalikan komuniti di Pulau Omadal, Semporna, telah membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh yang didakwa dibuat oleh beberapa pemandu pelancong tempatan.

Ketua Polis Daerah Semporna Mohd Farhan Lee dalam satu kenyataan berkata seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan awal hari ini berhubung laporan itu dan permohonan reman akan dibuat untuk siasatan lanjut.

Guru Jefry Musa dalam catatan Instagram berkata dia membuat laporan terhadap pemandu daripada dua agensi pelancongan yang didakwa mengabaikan permintaannya supaya mereka menghalang tetamu mereka daripada mengambil gambar bogel kanak-kanak Bajau Laut di pulau itu tanpa kebenaran.

Menurut laporan polis, Jefry berkata semalam berlaku pertengkaran antara dia dan pemandu pelancong yang tidak berpuas hati dengannya merakam telatah pelancong itu mengambil gambar kanak-kanak berbogel.

“Semasa pergaduhan ini, saya diberi amaran akan diapa-apakan jika saya turun ke Pekan Semporna.

“Selepas pergaduhan dileraikan ketua kampung dan Pasukan Gerakan Am (PGA) saya dimaklumkan oleh penduduk kampung bahawa terdapat ugutan untuk membunuh saya oleh pemandu-pemandu pelancong ini,,” kata Jefry dalam laporannya yang dibuat di balai polis daerah Semporna.

“Laporan ini dibuat kerana bimbang tentang keselamatan saya serta guru lain (yang akan berada di sekolah) pada hari-hari berikutnya,” kata laporan polis itu lagi, yang disiarkan di Instagram Jefry.

Dalam catatan Instagram kedua, Jefry menunjukkan bahawa dia sebelum ini telah berbincang dengan agensi pelancongan itu untuk berhenti membenarkan pelancong mengambil gambar kanak-kanak itu.

Bagaimanapun, dia mendakwa mereka telah gagal berbuat demikian dan meletakkan keselamatan kanak-kanak itu dalam bahaya.

Malaysiakini telah menghubungi kedua-dua agensi pelancongan itu untuk mendapatkan ulasan.