Saifuddin ungkit hubungan Gerakan-PAS jawab 'propaganda' Muhyiddin
Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Nasution Ismail mengungkit hubungan Gerakan dan PAS yang dilihat tidak sefahaman dalam beberapa isu baru-baru ini.
Ini selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menyatakan gabungan yang diterajuinya mampu menawan Pulau Pinang dengan setakat ini “hampir 20 kerusi” diyakini akan memberikan kemenangan kepada mereka.
Saifuddin yang juga menteri dalam negeri menyifatkan kenyataan Muhyiddin sebagai propaganda.
"Tidak salah menyimpan impian seperti yang Muhyiddin buat. Sebab, Muhyiddin sendiri tahu kenyataan beliau adalah satu propaganda yang dia sendiri tidak percaya. Namun, beliau mahu rakyat percaya.
"Bagaimana Muhyiddin boleh meyakinkan pengundi Pulau Pinang sedangkan parti Gerakan pula hanya terus meminta PAS mohon maaf ke atas setiap kesilapan politik yang parti itu buat," katanya kepada Malaysiakini.
Muhyiddin semalam menyatakan keyakinan bahawa gabungannya boleh memenangi "hampir dekat 20" kerusi DUN untuk memperoleh majoriti mudah di 40 kerusi DUN Pulau Pinang.
"Sekarang dah hampir dekat 20 (kerusi) agak ya agak-agak lah kalau kita nak menang hanya perlu 51 peratus. Tinggal satu peratus cari, tak kan tak boleh," katanya seperti dipetik FMT.
Gerakan yang merupakan parti utama dalam gabungan PN di Pulau Pinang dilihat tidak senang dengan kenyataan beberapa pemimpin PAS.
Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong sebelum ini membidas Menteri Besar Kedah Sanusi Md Noor kerana berulang kali mempertikai kedaulatan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri.
Yang terbaru, Oh yang timbalan presiden Gerakan menggesa Ahli Parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor menarik balik dakwaannya yang menyifatkan pakaian seragam jururawat wanita terlalu ketat, selain menggesa pemimpin PAS itu memohon maaf kepada petugas kesihatan di negara ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Adun Pantai Jerejak berkata bahawa keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-15 tidak boleh diambil sebagai kayu ukur pada PRN di enam negeri akan datang.
"Hanya berdasarkan PRU ke-15 lepas, Muhyiddin mengambil pendekatan simplistik untuk membina naratif bahawa PN terus mendapat sokongan rakyat.
"Walhal, sejak tujuh bulan lepas rakyat nampak jelas sementara PN terus berpolitik, kerajaan perpaduan pula kekal fokus membangun ekonomi dan membela rakyat melalui pentadbiran bersih bebas rasuah," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/fa06b4f8ec0a952592cb5efcd7b3b658.jpg)
