Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Wan Junaidi Yang di-Pertua baru Dewan Negara, Nur Jazlan timbalan
Diterbitkan:  Jun 19, 2023 10:30 AM
Dikemaskini: 4:20 AM

Bekas menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara bagi menggantikan Rais Yatim bermula hari ini.

Namanya dicadangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pelantikan itu kemudiannya diluluskan oleh Dewan Negara tanpa perbahasan kerana dia adalah satu-satunya calon yang dinamakan.

Terdahulu, Wan Junaidi, bersama bekas menteri Pakatan Harapan Mujahid Yusof Rawa dan bekas menteri Umno Nur Jazlan Mohamed mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara.

Ketiga-tiga mereka mengangkat sumpah sebagai senator di hadapan pengerusi sementara Senator Prof Dr Awang Sariyan pada majlis yang berlangsung di Dewan Negara.

Wan Junaidi dan Nur Jazlan adalah lantikan Yang di-Pertuan Agong manakala Mujahid pula merupakan pilihan Dewan Undangan Negeri Perak pada 25 Mei lalu.

Sementara itu, bekas ahli parlimen Pulai, Nur Jazlan Mohamed dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara selepas pengundian bersurat dijalankan. Ini memandangkan terdapat lebih daripada satu nama dikemukakan.

Pembangkang mencalonkan wakil mereka, Razali Idris, untuk jawatan itu.

“Yang Berhormat Senator Nur Jazlan  Mohamed mendapat 43 undi dan Yang Berhormat Razali Idris mendapat 11 undi manakala lapan orang ahli tidak hadir. 

"Maka selaras dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 5 (2) saya dengan ini memasyhurkan Yang Berhormat Senator Nur Jazlan dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara,” kata Wan Junaidi.

Usul pencalonan Nur Jazlan dikemukakan oleh Anwar selaku ketua majlis manakala wakil pembangkang menamakan Razali sebagai calon mereka.

Pencalonan Razali dicalonkan oleh Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Dewan Negara kemudian bersidang selama enam hari bermula hari ini.

Dalam ucapan sulungnya, Wan Junaidi berkata, walaupun sudah bersara daripada politik, dia memutuskan untuk menerima jawatan ini kerana mahu terus berkhidmat kepada negara.

Dia menggariskan tiga reformasi utama Parlimen yang diharapkan dapat dicapai sepanjang tempoh perkhidmatannya iaitu menggubal Akta Perkhidmatan Parlimen dan meminda Akta Dewan Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) serta Peraturan Mesyuarat Dewan.

Pembaharuan terakhir yang beliau harap dapat dilaksanakan adalah sesuatu yang pernah dikatakannya dan telah diusahakannya sejak 2011, iaitu memperkenalkan garis panduan etika untuk ahli parlimen.

“Bagi saya, tugas dan tanggungjawab ahli parlimen bukanlah untuk bergaduh di Dewan dan bukan untuk mempermainkan politik.

“Tugas dan tanggungjawab mereka… adalah untuk menggubal dan meluluskan belanjawan untuk memartabatkan kerajaan dan di samping memberikan perkhidmatan kepada rakyat dalam konteks politik Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS