Pengalaman luas ketika menjadi wakil rakyat dan menteri suatu ketika dahulu melayakkan Senator Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara ke-19, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Pelantikan berkenaan menjadikan bekas ahli parlimen Santubong serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) sebagai anak Sarawak kedua memegang jawatan berkenaan selepas Allahyarham Abang Ahmad Urai Abang Mohideen pada 1988 hingga 1990.

“Beliau (Wan Junaidi) telah membuktikan beliau layak ketika menjadi ahli Dewan Rakyat dan menteri.

"Tambahan pula semasa penggal terakhir sebagai ahli parlimen, beliau sangat agresif dalam memastikan perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terlaksana serta hal berkaitan Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi penerangan dan dialog guna tenaga agrikomoditi 2023 di Kuching hari ini.

Meskipun posisi Wan Junaidi di Dewan Negara tidak membolehkannya terlibat dalam perundingan MA63, Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MA63 memberi jaminan akan meneruskan usaha menangani isu di bawah perjanjian berkenaan.

Terdahulu Wan Junaidi, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mujahid Yusof dan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamed, mengangkat sumpah jawatan sebagai ahli Dewan Negara.

Wan Junaidi menggantikan Rais Yatim yang menyandang jawatan itu sejak 18 Jun 2020 dan tamat perkhidmatan 16 Jun lepas.

Pelantikan itu dibuat selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengemukakan nama Wan Junaidi sebagai calon tunggal untuk dilantik ke jawatan tersebut.

- Bernama