Arab Saudi mengumumkan hari wukuf yang merupakan kemuncak haji adalah pada 27 Jun (Selasa) ini sementara Aidiladha akan disambut pada keesokan harinya.
Perkara itu dinyatakan Ketua Rombongan Haji Malaysia Syed Saleh Syed Abdul Rahman dam ia turut dilaporkan media tempatan yang memetik kenyataan mahkamah agung negara itu.
Wukuf dilakukan dengan berada di Padang Arafah mulai tergelincirnya matahari (waktu Zohor) pada 9 Zulhijjah (27 Jun) sehingga sebelum terbit fajar pada 10 Zulhijjah.
Kesemua 31,600 jemaah haji Malaysia akan menyertai kira-kira tiga juta umat Islam dari seluruh dunia akan bergerak ke Arafah untuk melaksanakan rukun haji itu.
Syed Saleh dalam sidang media di Makkah berkata tahap kesediaan khemah di Arafah dan Mina bagi operasi masyair untuk jemaah haji Malaysia kini telah mencapai tahap 80 peratus.
Menurutnya dengan berbaki lapan hari lagi menjelang wukuf, pihak pengurusan di sembilan maktab penginapan Malaysia akan mengadakan sesi taklimat kepada jemaah haji.
Antaranya mengenai pergerakan bas dan kemudahan di Arafah serta Mina.
"Jemaah haji juga akan diberikan nombor dan tempat dalam khemah dalam masa terdekat ini," katanya.
Syed Saleh berkata hampir 300 khemah di Arafah dan Mina tersedia buat jemaah haji negara dengan beberapa penambahbaikan dilakukan tahun ini, termasuk khemah berdinding PVC, bekalan elektrik di Arafah terus dari pencawang dan bekalan makanan keseluruhannya dibekalkan syarikat Malaysia.
Dalam pada itu, Syed Saleh berkata setakat ini seramai 29,212 daripada 31,600 jemaah haji negara telah berada di Makkah.
Mengenai status kesihatan jemaah haji pula, dia berkata 56 jemaah haji berada di wad pusat rawatan Tabung Haji manakala lapan orang di fasiliti kesihatan Arab Saudi.
Bagaimanapun, katanya kesemua mereka - yang mengalami jangkitan paru-paru, masalah jantung dan sistem pencernaan, sakit kulit dan sendi - berada dalam keadaan stabil.
- Bernama
