Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Felcra laksana 4 projek mega ternakan ayam pedaging secara tertutup
Diterbitkan:  Jun 19, 2023 7:00 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

FELCRA Berhad telah melaksanakan empat projek mega ternakan ayam pedaging secara tertutup, di kawasan luar bandar seluruh negara bagi menampung keperluan bekalan makanan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata projek itu, dilaksanakan di Tanjung Seratus, Kuala Rompin (300,000 ekor/pusingan); Sungai Damak, Lipis, Pahang (250,000 ekor/pusingan); Padang Terap, Kedah (250,000 ekor/pusingan) dan Paloh 4, Gua Musang, Kelantan (250,000 ekor/ pusingan).

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata projek mega ternakan ayam pedaging secara tertutup tersebut, berpotensi mengubah landskap sebuah pekan kecil atau desa kepada persekitaran berkualiti.

“Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada generasi warga peserta untuk membina kerjaya serta menjana pendapatan, selain dapat mengisi kekosongan jawatan yang akan ditawarkan.

“Ia dapat dilakukan melalui pelbagai aktiviti penjanaan ekonomi setempat, seperti aktiviti perkhidmatan dan penyelenggaraan, kerja-kerja landskap, pembekalan, pembinaan dan kontrak serta aktiviti lain yang berkaitan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata program tersebut juga merupakan kesinambungan usaha kerajaan untuk terus meningkatkan taraf kehidupan rakyat, melalui Pelan Transformasi FELCRA 2.0 dan seterusnya memperkukuhkan ekonomi negara secara keseluruhannya.

Beliau turut menegaskan isu keterjaminan makanan akan menjadi antara elemen penting dalam usaha berterusan kerajaan, untuk memastikan perancangan rantaian bekalan dalam negara terus berdaya tahan dan dapat memberikan kelangsungan kehidupan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Projek mega ternakan ayam pedaging secara tertutup merupakan projek mega di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi membantu menambah bekalan ayam di pasaran dalam negara selain membuka peluang pekerjaan kepada peserta FELCRA.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS