Lima saintis muda negara diberi pengiktirafan mewakili Malaysia dalam Mesyuarat Pemenang Hadiah Nobel ke-72 yang akan berlangsung di Jerman pada 25 hingga 30 Jun ini.
Lima saintis tersebut ialah Liyana Azmi (Universiti Sains Islam Malaysia), Norhasmira Mohammad (Universiti Teknologi Mara), Wong Yin How (Universiti Taylors) serta Afifah Mohamed dan Wong Sok Kuan dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Chang Lih Kang berkata Mosti menekankan keperluan untuk memberikan peluang kepada saintis muda turut serta dalam program bertaraf global seperti mesyuarat itu.
“Melalui perkongsian perspektif baharu serta idea inovatif, saintis-saintis muda ini menjadi aset berharga bagi komuniti saintifik.
“Langkah ini adalah penting untuk memastikan bahawa generasi baharu saintis dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan bagi menghadapi cabaran masa depan,” katanya dalam kenyataan.
Mereka antara 635 saintis muda dari seluruh dunia yang akan berinteraksi secara langsung dengan 40 pemenang Anugerah Nobel yang didedikasikan bagi bidang fisiologi dan perubatan.
Saintis-saintis muda berkenaan akan menyertai sesi syarahan, perbincangan terbuka serta berpeluang bertemu pemenang anugerah nobel secara santai melalui acara Laureate Lunch.
Semenara itu, Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM) Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata penyertaan Malaysia dalam mesyuarat itu untuk memperkasa saintis muda dan memberi peluang mereka bekerjasama dengan saintis terkemuka dunia.
“Ini juga memberikan mereka pendedahan yang amat berharga antaranya dapat memperluas rangkaian, berkongsi idea, pengetahuan dan penyelidikan.
“Program ini diharap mampu memberi inspirasi serta motivasi kepada mereka untuk memajukan sains dan teknologi sekali gus memberikan impak positif kepada masyarakat,” katanya.
ASM membuka pencalonan bagi mesyuarat itu pada September dan Oktober tahun lalu.
Termasuk tahun ini, Malaysia telah menghantar 84 saintis muda untuk mengambil bahagian dalam Mesyuarat Pemenang Hadiah Nobel sejak tahun 2004.
