Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PN tak namakan calon MB Selangor kerana akhirnya sultan tentukan'

Perikatan Nasional (PN) mempunyai calon untuk mengisi jawatan menteri besar Selangor sekiranya berjaya merampas negeri itu pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Bagaimanapun sumber berkata, gabungan itu tidak menamakan ‘poster boy’ untuk PRN berkenaan kerana berpendapat menteri besar akhirnya akan diputuskan oleh Sultan Selangor sendiri.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang enggan namanya didedahkan berkata, perkara itu diperakui sendiri oleh Mohamed Azmin Ali yang juga bekas menteri besar Selangor.

Nama Azmin sebelum ini disebut-sebut bakal mengisi semula jawatan itu sekiranya PN dapat menawan Selangor.

"Memang ia (calon MB) tidak pernah dibincangkan di peringkat MPT, jadi saya tidak boleh pastikan siapa calon menteri besar, apakah muka baru ataupun Azmin.

"Bahkan Azmin sendiri pun memaklumkan yang Sultan akan pilih daripada nama-nama calon menteri besar dari pihak yang menang pilihan raya negeri (PRN).

"Jadi, tak boleh agak sultan perkenan siapa nanti," katanya kepada Malaysiakini.

Dua hari lalu, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin berkata parti itu memutuskan untuk tidak mengumumkan calon menteri besar mereka di Selangor menjelang enam PRN tidak lama lagi.

Muhyiddin berkata nama-nama calon menteri besar itu hanya akan diumumkan apabila tiba waktunya.

"Yang penting kita tak perlu umumkan.

"Pada prinsipnya, dalam senarai yang kita (ada) sudah kenal pasti ramai tokoh-tokoh dan sampai masa sesuai... tahu siapalah menteri besarnya," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Pemuda PN di Shah Alam, Selangor.

Bagaimanapun Muhyiddin menggesa Azmin supaya menghadiahkan kemenangan kepada PN di Selangor.

Harapan yang diletakkan Muhyiddin serta beberapa pemimpin PN lain terhadap Azmin memberi bayangan yang bekas ahli Parlimen Gombak itu bakal diangkat sebagai menteri besar Selangor.

Seorang lagi pemimpin tertinggi Bersatu memaklumkan bahawa pengalaman Azmin ditagih untuk membawa kemenangan kepada PN di Selangor.

"Siapa menteri besar kita sudah ada calon-calonnya, yang penting menang dulu PRN Selangor.

"Kita yakin calon itu nanti akan diterima istana," katanya ketika diminta mengulas sama ada Azmin merupakan calon menteri besar PN di Selangor.

Fokus menang 33 kerusi

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Selangor, Nushi Mahfodz, berkata fokus PN kini adalah untuk menang 33 kerusi pada PRN Selangor.

Katanya setiap komponen PN akan mengemukakan calon menteri besar masing-masing sebelum sultan menentukan siapa yang diperkenan baginda.

"Kita fokus PN menang dulu dengan target 33 kerusi Dewangan Undangan Negeri (DUN) agar hasrat rakyat Malaysia untuk melihat Selangor Baru menjadi realiti.

"Bila sudah menang nanti insya-Allah setiap parti komponen PN akan beri nama calon menteri besar masing-masing.

"Akhirnya, kami yakin kepada kebijaksanaan tuanku untuk buat pilihan terbaik bagi seluruh rakyat negeri Selangor," katanya kepada Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS