DAP contohi Umno, kata Syed Ali
DAP menangguhkan pemilihan parti itu di peringkat kebangsaan dan negeri selama 12 bulan kerana mencontohi kejayaan Umno berbuat demikian dalam menghadapi pilihanraya umum, kata Setiausaha Agung Kelab Senator Malaysia, Datuk Syed Ali Alhabshee.
DAP menangguhkan pemilihan parti itu di peringkat kebangsaan dan negeri selama 12 bulan kerana mencontohi kejayaan Umno berbuat demikian dalam menghadapi pilihanraya umum, kata Setiausaha Agung Kelab Senator Malaysia, Datuk Syed Ali Alhabshee.
Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Cheras, berkata, tujuan Umno menangguhkan pemilihan parti ialah kerana mahu memberi fokus sepenuhnya kepada persiapan menghadapi pilihanraya.
Syed Ali berkata, begitu juga dengan DAP yang mengambil keputusan yang sama kerana mahu memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihanraya umum akan datang.
Oleh itu, katanya, jelasnya bahawa langkah Umno, sepertimana yang dicontohi oleh DAP sekarang, amat berkesan dalam membantu parti mencatatkan kemenangan besar dalam pilihanraya umum.
Ahad lalu, kongres khas DAP telah meminda perlembagaan parti itu yang memberi kuasa kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) untuk menangguhkan pemilihan parti peringkat kebangsaan dan negeri sehingga 12 bulan bagi membolehkannya memberi tumpuan terhadap pilihanraya umum.
Pemilihan kepimpinan DAP di semua peringkat dijadual diadakan mulai September depan.
Umno tidak risau
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, tindakan DAP itu sebenarnya bertujuan untuk mengelak persaingan sehingga berlaku perpecahan dalam parti.
Ditanya sama ada Umno merasa bimbang dengan perkembangan tersebut, bekas Menteri Besar Selangor berkata, Umno tidak menghiraukan apa yang berlaku dalam parti lain.
"Kami hanya memberi keutamaan kepada kemenangan Umno dalam pilihanraya umum akan datang," katanya.
Muhammad berkata, Umno juga tidak bimbang dengan sokongan pengundi kaum Cina kerana dalam pilihanraya umum yang diadakan selama ini, mereka tetap menyokong Barisan Nasional (BN).
Katanya, BN juga yakin kaum Cina akan terus menyokong BN dalam pililihanraya umum kelak.
"Saya tidak fikir kaum Cina akan mengundi pembangkang kerana mereka mahukan sebuah kerajaan yang kukuh untuk memudahkan mereka menjalankan perniagaan," katanya.

