Tiada warlord ataupun pemimpin utama Umno Kedah yang akan menyertai PN sebelum pilihan raya negeri (PRN) diadakan, kata Pengerusi Umno Kedah, Mahdzir Khalid.

Kata Mahdzir, dakwaan kononnya ada pemimpin utama Umno Kedah akan menyertai PN sebelum ini sekadar propaganda menjelang PRN yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Setakat ini tidak nampak, tidak ada di Kedah.. saya fikir mana-mana organisasi atau parti politik akan ada musim apabila ada yang keluar dari parti atau dikenakan tindakan, dan mereka membawa diri.

"Bukan saja Umno pergi ke parti lain, tapi dari parti lain ke Umno pun ada terjadi.

"Contohnya, bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Mohd Khairuddin Aman Razali, yang menyertai Majlis Ulama Umno," katanya pada sidang media di Alor Setar, Kedah hari ini.

Pada 12 Jun lalu, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin dalam sidang medianya di lobi parlimen memaklumkan parti itu akan mengumumkan senarai nama 10 warlord Umno yang disisihkan untuk menyertai mereka dalam masa terdekat.

Setakat ini bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa, memilih PAS bagi meneruskan karier politiknya selepas dipecat Umno.

Pilih calon terbaik

Bekas pengerusi Umno Selangor, Noh Omar, pula belum lagi menyertai mana-mana parti dalam PN, namun telah turun padang untuk berkempen bersama gabungan terbabit.

Bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, masih berteka-teki mengenai masa depan politiknya meskipun beberapa kali bertemu Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Mahdzir berkata Umno Kedah sudah mengadakan perbincangan mengenai aktiviti-aktiviti yang boleh difokuskan untuk dilaksanakan menjelang PRN ini secara bersasar.

"Kita kena ambil kira semua kumpulan, apa yang sesuai untuk anak muda, pesawah, nelayan, penoreh getah dan lain-lain.

"Kita tengok apa program bersesuaian di tempat masing-masing sebab ada juga kawasan multiracial ada Melayu, Cina, India dan Siam, jadi kena ambil kira semua itu," katanya.

Ditanya mengenai calon parti yang akan bertanding pada PRN, Mahdzir berkata ia sedang disusun dan akan disiapkan dalam masa terdekat.

"Siap nanti kita akan serah nama-nama calon itu kepada presiden parti. Ada calon muka baru, muka lama dan juga wanita.

"Calon terbaik yang akan dipilih nanti," tambahnya lagi.

Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah

Mengulas mengenai isu Kedah-Pulau Pinang, Mahdzir berkata Umno menyifatkan masih ada urusan yang belum selesai berkaitan sejarah di antara zaman British dan kerajaan pada masa itu.

Katanya, Umno Kedah menjunjung titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mengenai kedudukan Pulau Pinang dan Kedah.

"Sebagai rakyat Kedah dan juga pengerusi Umno dan BN negeri, saya menjunjung titah Tuanku pada hari keputeraan baginda adalah ucapan yang lahir daripada hati.

"(Ia) berkaitan dengan sejarah negeri Kedah yang panjang dan mengambil titah ucapan Tuanku menunjukkan baginda sangat memahami fakta sejarah di Kedah khususnya sejarah Kedah tua sehinggalah zaman penjajahan British.

"Ada perkara yang saya boleh tafsirkan unfinished business (urusan yang belum selesai) oleh British," katanya.