Dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini, kata Mohd Amar Abdullah, PAS Kelantan akan menonjolkan lebih ramai golongan profesional sebagai calon sebagai tawaran untuk penduduk setempat.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan itu berkata, dari segi pencalonan akan berlaku pertukaran sekitar 25 peratus hingga 30 peratus.

"Kita (PAS Kelantan) banyak masukkan (golongan) profesional untuk kali ini.

"Saya sendiri (sama ada dicalonkan atau tidak) serah pada parti, itu parti yang tentukan," katanya kepada media selepas majlis perasmian Karnival Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata demikian ketika ditanya sama ada wakil rakyat PAS sekarang semuanya akan mempertahankan kerusi masing-masing pada PRN nanti.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan DUN Kelantan - yang mempunyai 45 kerusi - secara rasmi dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada PRN.

Ia susulan pengumuman Menteri Besar Ahmad Yakob pada sidang medianya pada Rabu lepas bahawa pembubaran DUN itu mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Pembubaran DUN bagi penggal ke-14 itu dilakukan empat hari lebih awal berbanding tempoh mandat DUN yang akan berakhir secara automatik pada 26 Jun ini.

Melalui Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, PAS mendominasi Kelantan apabila menang 37 kerusi berbanding hanya lapan buat BN.

Sementara itu Mohd Amar berkata, nama calon-calon PAS yang dicadangkan ke peringkat pimpinan dipilih selepas mereka melepasi kajian awal pilihan raya yang dijalankan sebelum ini.

Katanya, setiap cawangan diberikan peluang untuk mencalonkan nama calon-calon yang dirasakan sesuai.

"Biasanya setiap kerusi diangkat tiga nama calon, setelah ditapis di peringkat negeri kita angkat (rujuk) kepada Majlis Syura Ulama PAS untuk diteliti.

"Dari situlah PAS buat keputusan akhir," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai dua kerusi dewan undangan negeri (DUN) yang dituntut daripada Bersatu, Mohd Amar menjelaskan PAS meminta satu kerusi masing-masing satu dalam kawasan parlimen Gua Musang dan Jeli.

"Sebab kalau PAS tak bertanding satu kerusi pun di kawasan parlimen itu, kami takut moral petugas dan penyokong PAS (menurun), jadi PAS rasa perlu ada satu kerusi yang boleh berikan semangat yang tinggi kepada ahli dan petugas bekerja," katanya yang juga naib presiden PAS.