Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PN akan meletakkan calon di kesemua 245 kerusi DUN pada PRN di enam negeri yang akan diadakan tak lama lagi.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata PAS akan bertanding di 126 kerusi, Bersatu di 83 kerusi dan Gerakan di 36 kerusi.


BACA LANJUT: PRN: Sampai mana gelombang hijau?


"Rundingan kerusi berjalan dengan agak lancar, tiada perselisihan faham yang boleh cetuskan masalah.

"Kami dapat muktamadkan (rundingan) lebih awal berbanding tarikh PRN yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilhan Raya (SPR) nanti," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PN di Kuala Lumpur, hari ini.

Sidang media itu diadakan selepas mesyuarat Majlis Presiden PN yang dipengerusikan Muhyiddin.

Turut hadir Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan Dominic Lau dan barisan pimpinan tertinggi PN yang lain.

Muhyiddin berkata lagi, Bersatu bertanding di paling banyak kerusi yang tidak disandang mana-mana parti dalam PN pada masa ini.

Katanya, Bersatu akan meletakkan calon di 64 kerusi DUN seumpama itu manakala PAS di 50 kerusi.

Kesemua 36 kerusi DUN yang ditandingi Gerakan pula pada masa ini dipegang oleh parti selain PN.

Berkenaan calon, dia berkata nama-nama telah dimuktamadkan oleh setiap parti tetapi pengumuman lanjut akan dibuat di peringkat negeri.

"Kalau (saya) nak nyatakan satu demi satu, banyak sangat.

"Pengumuman akan dibuat di peringkat negeri, jadi ahli-ahli parti di negeri tahu dan buat persiapan yang perlu," kata presiden Bersatu itu.

Ditanya berkenaan 'poster boy' PN di setiap negeri, yang lazimnya dianggap sebagai calon menteri besar atau ketua menteri, Muhyiddin berkata perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat hari ini.

"Bila sampai masa orang tahu, atau di sesetengah tempat semua dalam PAS, Bersatu dan Gerakan (boleh jadi) poster boy," katanya lagi.

Muhyiddin turut mengesahkan semua calon PN di Kelantan dan Terengganu akan bertanding menggunakan logo PAS, manaka calon di empat lagi negeri - Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan - menggunakan logo gabungan itu.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS