LFL: K'jaan guna isu kewarganegaraan anak untuk perkenal undang-undang 'zalim'
Kerajaan akhirnya mengumumkan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan, namun Lawyers for Liberty (LFL) menyifatkan hal itu hanya menimbulkan kebimbangan yang lebih besar.
Pengarah LFL, Zaid Malek, mendakwa kerajaan menggunakan isu kewarganegaraan bagi kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia untuk memperkenalkan peruntukan lain berkaitan kewarganegaraan yang lebih 'berbahaya'.
"Kerajaan ini nampaknya menggunakan alasan untuk menyelesaikan isu kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia untuk memperkenalkan pindaan yang berbahaya, tidak adil, dan zalim ini.
"Pindaan ini akan mewujudkan satu kumpulan besar individu tanpa kewarganegaraan. Ia akan mencipta masalah baru yang besar dan memperbesarkan isu yang belum diselesaikan iaitu ketiadaan kerakyatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dia menyifatkan usul pindaan berkenaan sebagai yang terburuk dalam undang-undang kewarganegaraan sejak Merdeka.
Menyatakan rasa kecewa dan terkejut kerana pindaan tersebut diperkenalkan Pakatan Harapan yang sebelum ini mengaku memperjuangkan reformasi, Zaid berkata kerajaan BN dahulu pun tidak 'seteruk itu'.
Antara pindaan yang dicadangkan termasuk penghapusan Seksyen 1(e) Jadual Kedua Bahagian II Perlembagaan Persekutuan yang melindungi individu tanpa kerakyatan.
"Walaupun kami setuju dengan pindaan yang membenarkan anak-anak yang dilahirkan oleh ibu warga Malaysia di luar negara diberikan kewarganegaraan, kami terkejut dan jengkel dengan beberapa pindaan kontroversi lain yang dicadangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan-BN ini.
"Pindaan berbahaya dan regresif ini termasuk penghapusan keseluruhan Seksyen 1(e) Jadual kedua Bahagian II Perlembagaan yang melindungi individu tanpa kewarganegaraan.
"Pindaan ini akan menjadi pukulan terakhir kepada golongan tanpa kewarganegaraan yang ramai di Malaysia. Ini termasuk kanak-kanak dan mereka yang dilahirkan dan tinggal di Malaysia selama berabad-abad tetapi tidak mempunyai dokumen yang sah dan dinafikan mendapat MyKad," kata Zaid.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/08/ba602c24fad58b9eef9ea6d00dcc715c.jpg)
