Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin esok, untuk mendapat perkenan membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurut Adun Rhu Rendang itu, dia akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran DUN kepada baginda di Istana Syarqiyyah di Kuala Terengganu pada sembilan pagi.

Ditanya mengenai tarikh yang dicadangkan,dia berkata perkara itu akan diumumkan selepas selesai beliau menghadap Tuanku Sultan.

"Esok saya akan menghadap Tuanku pada sebelah pagi, sudah dapat perkenan untuk menghadap …. Sebaik saya sembah maklum Tuanku (baru umum tarikh) …. Lebih cantik saya maklumkan Tuanku dulu, insya-Allah lepas itu buat kenyataan," katanya kepada pemberita, hari ini.

Ahmad Samsuri turut memberitahu tempoh mandat DUN Terengganu akan berakhir pada 30 Jun ini.

DUN Terengganu mempunyai 32 kerusi yang menyaksikan 22 kerusi dikuasai PAS selepas Pilihan Raya Umum ke-14, manakala selebihnya milik BN.

-Bernama