Lebih 100 dipercayai ditahan
Versi terkini Lebih 100 orang penyokong pembangkang yang berarak untuk menyertai perhimpunan di Jalan Kebun, Shah Alam ditahan polis, termasuk seorang wakil rakyat Terengganu dan anggota jawatankuasa pusat Parti Keadilan Nasional.
ADUN Kampung Raja, Besut, Abdul Aziz Abbas dan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Sahri Bahri dipercayai ditahan ketika bersama rombongan utama perarakan tersebut.
Setakat ini, menurut [#1]senarai nama[/#] yang dikeluarkan oleh pertubuhan hak asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram), lebih 50 orang berjaya dikesan. Sementara sebuah akhbar berbahasa Cina edisi petang melaporkan 65 orang ditahan di beberapa tempat.
Sumber tidak rasmi menyebutkan kira-kira 70 orang lagi telah dibawa dalam beberapa lori polis ke balai-balai polis di daerah Kelang awal malam ini.
Mereka dipercayai akan dibawa ke mahkamah magistret di daerah itu esok untuk ditahan reman.
Presiden Keadilan Dr Wan Azizah Ismail dalam ucapannya di Markaz Tarbiyah PAS Taman Melewar, Gombak menyatakan lebih 100 orang ditahan dalam satu perarakan bersejarah parti pembangkang dalam tempoh krisis politik sejak 1998.
Ceramah umum yang turut disampaikan oleh Presiden PAS Datuk Fadzil Mohd Noor dan Presiden Parti Rakyat Malaysia Dr Syed Husin Ali dihadiri sekurang-kurangnya 1,500 orang.
Malaysiakini akan mendapatkan pengesahan rasmi esok.
Ceramah di Tmn Melewar 9 malam ini
7:30pm AHAD: Ketua Pemuda PAS Mahfuz Omar tadi mengumumkan bahawa satu ceramah umum akan diadakan jam 9 malam ini di Markaz Tarbiyah PAS di Taman Melewar, Gombak.
Pemimpin-pemimpin Pemuda Barisan Alternatif dijangka akan menyampaikan ucapan. Mahzuf merupakan antara pemimpin Pemuda utama BA yang turut menyertai perarakan, selain empat presiden.
Demonstran bersurai
6:30pm, AHAD: Beribu-ribu penyokong pembangkang mula menaiki kenderaan masing-masing dan bersurai.
Polis-penyokong saling memerhati
6:25pm, AHAD: Beribu-ribu penyokong pembangkang berkumpul di celah-celah kenderaan yang diberhentikan di atas lebuh raya tiga lorong.
Anggota polis dan kenderaan tidak dapat bergerak menuju ke arah penyokong kerana dihalang oleh ratusan buah kenderaan yang berhenti. Sementara penyokong reformasi memerhatikan pergerakan polis.
Polis cuba kejar dan tangkap
6:20pm, AHAD: Lebih kurang 50 anggota polis FRU, tidak termasuk anggota berpakaian biasa, cuba mengejar dan menangkap penyokong Barisan Alternatif yang sedang bertempiran lari menyelamatkan diri daripada serangan pemedih mata.
Pemimpin BA diserang gas pemedih mata
6:15pm, AHAD: Kira-kira setengah kilometer dari tol Kota Kemuning, polis menembak berpuluh-puluh gas pemedih mata ke arah empat pemimpin utama Barisan Alternatif, termasuk Presiden Keadilan Dr Wan Azizah Ismail yang menggunakan kerusi roda, dan beribu-ribu penyokong.
Serangan polis itu dimulakan ketika mereka sedang menyampaikan ucapan sementara menunggu beberapa ribu lagi penyokong yang sedang berarak di celah-celah kenderaan yang diletakkan di tengah-tengah lebuh raya tiga lorong.
20 penyokong ditahan polis
5:45pm, AHAD: Seramai 20 orang penyokong Barisan Alternatif ditahan polis sepanjang hari ini, menurut Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
Enam daripadanya ditahan selepas polis menyuraikan mereka dengan gas pemedih mata di simpang masuk ke Jalan Kebun dari lebuhraya.
Pemimpin BA berarak ke arah tol
5:15pm, AHAD: Empat pemimpin utama Barisan Alternatif menghampiri tol di simpang keluar ke Kota Kemuning. Sementara jalan menuju tol telah ditutup dengan lebih kurang 100 kenderaan, termasuk kereta, bas, van dan tiga lori kontena.
Pemimpin berkenaan terpaksa berjalan di celah-celah kenderaan, sambil diikuti barisan penyokong pembangkang dalam keadaan berpegangan tangan (human chain).
Sekurang-kurangnya 10,000 penyokong reformasi berkumpul sepanjang beberapa kilometer menuju tol itu.
Polis berpakaian seragam tidak kelihatan setakat ini.
Malaysiakini difahamkan beberapa jalan berdekatan dan menuju Lebuhraya Kesas ditutup.
Berita awal di bawah
[#2]Foto penyokong BA cedera dirampas[/#]5 Nov
[#3]Jalan Kebun gagal ditembusi[/#]
[#4]Perhimpunan tetap diteruskan[/#]
[#5]Polis dikecam halang perhimpunan[/#]


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.