Majlis Syura Ulama PAS akan bermesyuarat minggu depan dan menapis calon-calon parti itu yang bakal dipilih bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) membabitkan enam negeri.

Mursyidul Am, PAS, Hashim Jasin berkata antara kriteria dan keutamaan calon yang bakal dipilih adalah mereka tidak terlibat dengan dosa-dosa besar serta berakhlak.

“Agenda utama mesyuarat Majlis Syura Ulama minggu depan adalah untuk kita melakukan tapisan kelayakan calon-calon yang bakal bertanding.

“Keutamaan calon yang bakal dipilih itu tidak terlibat dengan dosa-dosa besar, tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil serta berakhlak,” katanya  yang dipetik oleh portal Utusan Malaysia, hari ini.

Bercakap di Arau, Hashim berkata, bagi setiap kawasan DUN akan dikemukakan tiga calon untuk proses tapisan berkenaan.

Majlis Syura, kemudiannya, akan meneliti setiap calon yang bakal dikemukakan itu sebelum mempertimbang memilih mereka yang benar-benar layak untuk bertanding.

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Mursyidul Am PAS itu juga dipetik sebagai berkata, dia  tidak ada masalah jika bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dicalonkan dalam PRN.

“Sama seperti orang lain, kita akan mempertimbangkan. Kita tidak ada masalah Nik Abduh dicalonkan.

“Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), dia layak bertanding di Parlimen tetapi dia tarik diri,” katanya.

Mengulas mengenai sama ada bekas Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa akan diberi peluang sebagai calon mewakili PAS, Hashim berkata, Majlis Syura Ulama akan mempertimbangkan jika namanya dicalonkan.

Pada masa sama, katanya, dia yakin gelombang hijau dan PN akan terus melanda dalam PRN termasuk mampu melakukan kejutan di negeri-negeri seperti Selangor.