Khairuddin: Takfiri bermula selepas PAS tidak bersama BN
Perbuatan takfiri (mengkafirkan orang lain) terhadap musuh politik bermula selepas PAS terkeluar dari Umno pada tahun 1978 sehingga tercetusnya "Amanat Tok Guru Haji Hadi 1981".
Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama Umno Khairuddin Aman Razali berkata, benih pemikiran takfiri adalah ancaman terhadap keharmonian bermasyarakat dan bernegara.
"Apabila PAS bersama Umno dari 1972 - 1978 dan bersama pula menubuhkan BN pada 1974 tiada tuduhan 'tidak Islam' dan 'musuh Allah' dikumandangkan, namun ia mengakar semula selepas PAS terkeluar daripada BN pada 1978 sehingga lahirlah Amanat Tok Guru Hj Hadi pada 1981.
"Apabila PAS bersama Umno pada 2019 menerusi Muafakat Nasional (MN) tiada lagi tuduhan sebegitu tetapi sebaik berakhir MN di saat PAS dan Umno bersaing semula di arena pilihan raya maka ucapan 'neraka jika mengundi selain PAS' kembali dihidupkan.
"Benih pemikiran 'takfiri' ini adalah ancaman terhadap keharmonian bermasyarakat dan bernegara sebagaimana dibahas dan diperingatkan oleh para alim ulama Islam seluruh dunia termasuk oleh Ulama gerakan-gerakan Islam dunia seperti Dr Yusof Qaradawi," katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

Khairuddin yang juga bekas setiausaha dewan ulama PAS tidak menyebut mana-mana pihak secara khusus.
Bagaimapun sebelum ini terdapat kontroversi melibatkan penceramah Zainul Asri Mohd Romli dalam sebuah acara di Kedah selepas dia menyebut:
"Moga-moga Allah mempertahankan negeri ini daripada dijatuhkan oleh musuh-musuh Allah dan dimenangkan agama Allah, insya-Allah.”
Kedah yang dipimpin PAS adalah salah satu daripada enam negeri yang akan menyaksikan pilihan raya negeri tidak lama lagi.
Zainul Asri hari ini memohon maaf dan menjelaskan dia tidak menyasarkan ucapan itu kepada mana-mana kumpulan dan atau mana-mana parti politik.
Semalam Khairuddin yang juga Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama Umno berkata, tindakan mewajibkan orang Islam menyokong parti berlabel Islam seperti PAS adalah haram.
Katanya, sebarang fatwa yang mewajibkan orang Islam berpolitik menerusi PAS dan mengundi hanya parti itu dalam politik adalah fatwa songsang.
Jelasnya ijtihad politik kepartian sifatnya luas dan tidak terhenti pada satu organisasi sahaja.
"Adakah wajib bersama dan menyokong satu parti berlabel Islam seperti PAS lalu menjadi haram bersama dengan parti lain?
"Jawapannya tidak. Tidak boleh mewajibkan sesuatu dalam Islam melainkan dengan dalil al-Quran dan al-Hadis kerana wajib bererti tidak dapat tidak mesti bersama dan menyokong dan haram serta berdosa bersama yang lain," katanya.
Mengulas lanjut Khairuddin menjelaskan PAS boleh mengajak rakyat termasuk orang Islam menyokong mereka dengan menampilkan kejayaan pentadbiran Islam yang mereka laksanakan di Kelantan, Terengganu dan Kedah khususnya.
"Begitu juga parti-parti lain seperti Umno berhak menampilkan kejayaan mereka menegak, mempertahan, mengembang dan melaksanakan Islam dalam pentadbiran negara dan negeri sejak merdeka 1957 dan pelbagai pembangunan dan kebajikan untuk rakyat.
"Begitu juga tawaran baru manifesto kebajikan dan pembangunan rakyat apabila memenangi kembali Kelantan, Terengganu dan Kedah.
"Itulah demokrasi pilihan raya. Rakyat mempunyai pilihan dan hak untuk menilai seterusnya memilih kerana ia merupakan persaingan parti politik dalam pilihan raya," katanya lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/08/ecfcad370b6cff11dc7b24d4e2627d56.jpg)
