Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pemakaian pelitup muka tak lagi wajib mulai Rabu ini
Diterbitkan:  Jun 29, 2023 11:42 AM
Dikemaskini: 6:55 AM

Pemakaian pelitup muka tidak lagi “wajib” tetapi hanya “dikehendaki” atau “amat digalakkan” di hospital dan pengangkutan awam mulai Rabu, 5 Julai ini, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Menerusi satu kenyataan hari ini, dia berkata, prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka itu sebahagian daripada kelonggaran garis panduan berdasarkan perlanjutan pengisytiharan Malaysia sebagai kawasan tempatan jangkitan dan kemas kini protokol Covid-19.

Dr Zaliha berkata, pemakaian tersebut “amat digalakkan” berdasarkan penilaian kendiri bagi individu berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah atau ibu mengandung.

Dr Zaliha Mustafa

“Ini terutama ketika berada di tempat sesak dan di mana pengudaraan kurang baik.

“Pelitup muka juga amat digalakkan bagi individu yang bergejala respiratori bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain; dan semasa berada dalam perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, kapal terbang, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, bas/van pekerja dan bas/van sekolah,” katanya.

Bagaimanapun dia mengingatkan bahawa orang ramai dikehendaki memakai pelitup muka bagi kes positif Covid-19 dan ketika berada di fasiliti kesihatan.

Dr Zaliha juga mengumumkan arahan pengasingan kes disahkan Covid-19 masih diteruskan, tetapi tempohnya dipendekkan dari tujuh hari kepada lima hari dari onset gejala pertama.

“Ini adalah berdasarkan kajian yang mengatakan bahawa infektiviti kes Covid-19 tinggi pada lima hari pertama dari onset gejala dengan viral load yang tinggi pada tempoh tersebut.

“Ia berkuat kuasa mulai 5 Julai ini,” katanya.

Sementara itu, Dr Zaliha berkata status Kawasan Tempatan Jangkitan di Malaysia yang akan tamat esok, dilanjutkan untuk tempoh enam bulan lagi hingga 31 Dis tahun ini.

Ini, di sebalik penilaian situasi semasa Covid-19 berada pada tahap tidak membimbangkan dan perkhidmatan kesihatan tidak terbeban.

Dia menjelaskan pelanjutan pengisytiharan itu masih diperlukan memandangkan terdapat risiko kemunculan varian dan subvarian baharu virus SARS-CoV-2 di negara ini.

"Selain itu, perhimpunan ramai yang dijangka berlaku semasa sambutan Hari Raya Aidiladha dan juga Pilihan Raya Negeri, berkemungkinan berisiko menyumbang kepada peningkatan kes dan membebankan sistem perkhidmatan kesihatan kerajaan jika langkah kawalan dan pencegahan tidak dilaksanakan sepenuhnya.

"Ia (juga) bagi membolehkan penguatkuasaan beberapa peruntukan dalam Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (Fasa Peralihan ke Endemik) 2022 yang digubal atas kuasa Menteri di bawah subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.

Dalam kenyataannya, menteri berkenaan berkata, sejak lima minggu kebelakangan ini (bermula ME 21/2023 sehingga ME 25/2023), bilangan kes baharu Covid-19 telah menunjukkan penurunan sebanyak 53.5 peratus, iaitu 5,801 kes kepada 2,698 kes.

Kes kematian juga, katanya  menunjukkan penurunan sebanyak 35.3 peratus iaitu 17 kes kepada 11 kes.

Dari segi kapasiti hospital pula, jumlah kemasukan pesakit ke hospital awam dan pengisian katil fasiliti Covid-19 juga menurun, manakala peratus pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) kekal stabil.

Dia juga memberitahu sebanyak 16,337,744 iaitu 50 peratus penduduk negara ini telah menerima dos penggalak pertama manakala 825,275 (2.5 peratus) sahaja telah menerima dos penggalak kedua hingga 27 Jun lalu.

Dr Zaliha menegaskan KKM akan terus memantau situasi Covid-19 dan juga varian yang dilaporkan untuk mengambil tindakan segera serta wajar apabila diperlukan.

Pada 5 Mei 2023, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan Covid-19 tidak lagi menjadi Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS