Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bertindak menggantung tugas seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) susulan dakwaan tindakannya yang dikatakan cuba menghalang seorang wanita daripada memasuki sebuah pejabat kerajaan di Pulau Pinang kerana cara berpakaiannya.

Dalam satu kenyataan, ketua eksekutifnya, Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, tiada sebarang arahan dikeluarkan kepada kakitangan Rela itu untuk menghalang wanita yang berpakaian skirt itu daripada memasuki pejabat mereka.

“Pihak Perkeso ingin menegaskan iaitu apa yang berlaku adalah di luar pengetahuan pengurusan dan petugas Rela berkenaan telah bertindak di luar bidang kuasa kawalan keselamatannya. 

Mohammed Azman Aziz Mohammed

“Sehubungan itu, tindakan  serta merta telah diambil oleh Perkeso ke atas petugas Rela terbabit dengan meminta penjelasan dan arahan menggantung tugas telah dikenakan berkuatkuasa dari semalam sehingga siasatan kes ini selesai,” katanya sambil menambah pihaknya memandang serius isu tindakan di luar jangkaan oleh pengawal keselamatan itu.

Pada Rabu lalu, peguam Ajit Singh Jessy mendakwa bahawa rakan sekerja wanitanya, yang hanya dikenali sebagai May, dihalang oleh seorang pengawal daripada memasuki pejabat Perkeso semasa menemaninya untuk mendaftarkan pembantu rumahnya dengan Perkeso.

Dia dilaporkan sebagai berkata, sebaik tiba, mereka dihalang oleh pengawal di pintu masuk dengan alasan bahawa pakaian May adalah tidak sopan.

"Saya dan May tanya apa yang salah kerana skirtnya sehingga lutut. Dia kata peraturan harus sehingga paras kaki.

“Selepas berterusan mendesak untuk mengetahui apa yang tidak kena dengan skirt itu, dia jawab, 'ini kali ok, lain kali tak boleh’,” kata Ajit Singh Jessy dalam satu kenyataan.

Peguam itu berkata sebaik sahaja mereka memasuki pejabat berkena, tidak ada kakitangan lain yang menjadikan pakaian May sebagai isu atau menegur mereka.

“Sejak bila pengawal keselamatan diberi kuasa untuk menguatkuasakan etika berpakaian? Saya selalu fikir tugas mereka adalah menjaga bangunan.

"Tolong hentikan gangguan terhadap orang ramai di jabatan kerajaan," kata Ajit lagi.