Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa kerajaan mempertimbangkan cadangan seorang ahli parlimen agar laporan tahunan SPRM dibentangkan terus di Parlimen.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, TI-M sambil menyokong cadangan ahli parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata, tindakan itu perlu bagi menangani segera masalah rasuah yang semakin tenat di negara ini.

"Di bawah Akta SPRM 2009, Seksyen 14(1) menetapkan bahawa Jawatankuasa Khas Rasuah bertanggungjawab dalam menasihati perdana menteri mengenai masalah rasuah di negara ini selepas meneliti laporan tahunan suruhanjaya itu dan menjelaskan ulasan Lembaga Penasihat.

"Kita mempunyai masalah yang pincang dalam menangani isu rasuah di negara ini dan kedua-dua pihak iaitu perdana menteri dan kerajaan memerlukan maklumat yang tepat bagi membuat tindakan yang pantas dan efisien.

Gambar Hiasan

"Kerajaan harus mempertimbangkan untuk menghapuskan semua birokrasi dan pada masa yang sama menjadikan SPRM benar-benar bebas dengan meminda Akta SPRM sebagai sebahagian daripada keseluruhan reformasi SPRM," katanya.

Hassan yang juga ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah SPRM pada 26 Jun lalu meluahkan kekecewaannya terhadap amalan semasa, yang mana penyerahan laporan tahunan diberi kepada dua jawatankuasa berasingan sebelum dihantar kepada perdana menteri untuk dibentangkan di Parlimen.

Menurut laporan Malay Mail, Hassan mengkritik proses penyerahan yang "berbelit-belit" sehingga mengakibatkan laporan asal SPRM gagal sampai ke Parlimen.

Gambar Hiasan

Dia mencadangkan agar laporan itu terus dibentangkan dan dibahaskan secara telus di Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebagai langkah proaktif memerangi rasuah.

Ahli PKR itu juga mencadangkan bahawa tiga panel pemantau yang ditubuhkan bawah Akta SPRM 2009 perlu memantau laporan SPRM selepas pembentangan dan perbahasan di Parlimen.