PTPTN tidak lantik agensi pengutip hutang
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak melantik agensi pengutip hutang untuk mendapatkan semula pinjaman pendidikan yang belum dijelaskan, kata Pengerusi PTPTN, Datuk Razali Ismail.
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak melantik agensi pengutip hutang untuk mendapatkan semula pinjaman pendidikan yang belum dijelaskan, kata Pengerusi PTPTN, Datuk Razali Ismail.
Sebaliknya, kata beliau, perbadanan itu bekerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengutip hutang daripada peminjam melalui potongan gaji.
"Sehingga kini, 41 hingga 45 peratus peminjam telah membuat bayaran kepada PTPTN," katanya.
Razali berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga tidak mengutip hutang PTPTN tetapi membantu mengesan alamat tempat kerja peminjamnya.
"Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut membantu untuk mendapatkan nama-nama peminjam," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu.
Semalam, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ong Tee Kiat, berkata sehingga 15 April lalu seramai 40,573 peminjam PTPTN sudah mendapat pekerjaan di pelbagai jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Daripada jumlah itu, 30,027 sudah membuat pembayaran dan 359 peminjam diberi pengecualian kerana memperoleh Ijazah Kelas pertama yang melayakkan pinjaman itu ditukar kepada biasiswa.
Surat peringatan
Razali berkata, pihaknya telah mengeluarkan surat peringatan kepada lebih 60,000 peminjam yang gagal menjelaskan pinjaman mereka.
Menurutnya, peringatan pertama dihantar selepas enam bulan tamat pengajian dan sekiranya mereka masih ingkar, tindakan seterusnya akan diambil.
Ditanya mengenai respon pekerja syarikat GLC, Razali berkata, walaupun pengumuman ini masih baru, namun ada peminjam yang berusaha membuat bayaran secara peribadi di KL Sentral dan juga melalui perkhidmatan on-line.
Sementara itu, PAS mendakwa Akta PTPTN 1997 (Pindaan) 2006 akan menambahkan kesulitan kepada peminjam tabung tersebut.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin berkata, melalui pindaan itu, Ketua Eksekutif PTPTN boleh meminta Ketua Polis Negara dan Ketua Pengarah Imigresen melarang pelajar terbabit daripada meninggalkan negara ini sehingga semua pinjaman dari tabung pendidikan itu dijelaskan.
Katanya, pindaan itu juga membolehkan polis dan Jabatan Imigresen menyita, membatal atau menahan mana-mana perakuan pengenalan atau pasport, permit keluar atau dokumen perjalanan yang lain.
"Sukar untuk kita menerima kerasionalan penggunaan polis dan pihak Imigresen bagi mendapatkan kembali pinjaman sedangkan PTPTN perlu dikawal oleh Akta Kontrak 1950," katanya dalam kenyataan media.

