Menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan Kementerian Pengangkutan (MOT) supaya tidak “memanipulasi” kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (NASP) yang belum lengkap sebagai langkah menangguhkan kelulusan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) di Kedah.

Sanusi berkata kajian NASP hanya akan disiapkan pada penghujung tahun ini dan sebarang penemuan daripada kajian yang telah dikeluarkan adalah belum muktamad.

Sanusi menegaskan akan ada perkembangan baru dari semasa ke semasa yang boleh menjejaskan laporan akhir NASP.

“Dalam hal ini, ingin saya mengingatkan MOT supaya tidak membuat keputusan, pendirian atau kenyataan media dengan memanipulasi kajian diusahakan dengan kos yang begitu besar daripada wang rakyat semata-mata untuk kepentingan politik kepartian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Projek pembangunan Kedah Aerotropolis yang termasuk dalam komponennya KXP adalah suatu projek yang amat signifkan dengan keperluan ekonomi rakyat dan negara, diperakui oleh penggiat industri antarabangsa sebagai berpotensi untuk menjadi ‘economic game changer’ di rantau ini," katanya.

Sanusi, yang juga Pengerusi PN Kedah, menjawab kenyataan Kementerian Pengangkutan semalam, yang berkata tidak ada keperluan untuk pembangunan lapangan terbang baru di Kulim buat masa ini.

Kementerian itu menyatakan kemudahan sedia ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) masih boleh mengendalikan permintaan kargo dan penumpang berdasarkan penemuan perunding NASP.

Berdasarkan penemuan dalam kajian NASP, kementerian berkata cadangan pembangunan KXP didapati "tidak berdaya maju".

Ia juga berkata pembinaan KXP hanya boleh dipertimbangkan selepas LTAPP mencapai kapasiti maksimum 20 juta penumpang setahun yang diunjurkan pada 2042.

Memetik penemuan NASP, kementerian berkata 92 peratus kargo yang dikendalikan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah daripada perkhidmatan penerbangan penumpang melalui kargo bahagian 'perut', manakala hanya lapan peratus daripada kargo dikendalikan oleh perkhidmatan pengangkut barang sepenuhnya.

Tegas MOT, ia menunjukkan bahawa pergantungan KXP pada perkhidmatan penerbangan kargo penuh tidak akan memberi rangsangan besar untuk menjadi lapangan terbang kargo yang berdaya maju kerana ia juga perlu bergantung pada perkhidmatan penerbangan penumpang untuk mengangkut kargo.

Sebagai tindak balas, Sanusi mendakwa adalah salah untuk kementerian membandingkan konsep KLIA dan LTAPP dengan KXP kerana kedua-dua lapangan terbang sedia ada beroperasi sebagai lapangan terbang penumpang, manakala KXP akan 100 peratus berdasarkan kargo pemindahan dari Eropah ke China untuk pasaran Asia Pasifik .

Dia menegaskan bahawa banyak memorandum persefahaman (MOU) telah ditandatangani dengan "pemain industri kargo antarabangsa", termasuk lima MoU yang ditandatangani pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (Lima '23) baru-baru ini.

"Ternyata pihak luar lebih berkeyakinan terhadap projek ini berbanding pemimpin Kerajaan Persekutuan sendiri," katanya.

Dia juga mendakwa MOU yang ditandatangani dengan Kumpulan Lapangan Terbang Wilayah Henan dan lima lagi pengusaha industri semasa Lima ’23 tidak diambil kira sebagai penemuan dalam kajian NASP yang dibentangkan dalam kenyataan Kementerian Pengangkutan semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, pemimpin PAS itu turut menyangkal kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa lapangan terbang tidak boleh dibina dengan mudah kerana ia menyentuh isu keselamatan negara.

Sanusi menegaskan, isu keselamatan negara dan kepentingan tentera udara berhubung KXP telah diselesaikan sembilan tahun lalu menerusi pelbagai sesi libat urus antara agensi kerajaan berkaitan dan pemaju KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd.

Dia mendakwa kenyataan Anwar berhubung isu keselamatan negara hanyalah alasan untuk menangguhkan kelulusan pembinaan KXP.

Sanusi sebelum ini menggesa Anwar untuk mengetepikan "kepentingan peribadi" dan mempercepatkan kelulusan untuk membina KXP.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke

Pada bulan Mac, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menafikan bahawa kerajaan menolak cadangan pembangunan KXP.

Pada masa itu, Loke berkata kajian NASP mengenai projek itu masih belum dimuktamadkan.

Pada bulan yang sama, kerajaan Kedah turut merayu kepada Putrajaya untuk membenarkannya melaksanakan pengambilan tanah bagi membina cadangan terminal lapangan terbang itu.