Selepas berminggu-minggu tidak bersetuju mengenai jawatan speaker untuk Dewan Rakyat Thailand yang baru dipilih, ahli politik veteran beragama Islam, Wan Muhammad Noor Matha, akhirnya diumumkan mengisi jawatan tersebut.

Pemimpin Parti Prachachat berusia 79 tahun itu menjadi calon tunggal untuk jawatan itu pada Selasa, sekali gus tiada pengundian dijalankan.

Wan Muhammad Noor sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Speaker Dewan Rakyat dan presiden ex-officio parlimen antara 1996 dan 2000.

Selain itu, dia juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Dalam Negeri, Pengangkutan, Pertanian dan Koperasi di bawah pentadbiran Thaksin Shinawatra.

Dia dicalonkan oleh calon perdana menteri Pita Limjareonrat yang mengetuai Parti Move Forward (MFP) yang memperoleh kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Thailand pada 14 Mei.

Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn merasmikan sesi baru Dewan Rakyat dengan 500 ahli pada Isnin yang akan memilih perdana menteri dan membentuk kerajaan baru.

Pelantikan Wan Muhammad tanpa bertanding juga menunjukkan berakhirnya pertikaian awam antara MFP dan Pheu Thai mengenai jawatan itu.

Konsensus dipercayai dicapai pada lewat Isnin dengan MFP mengisi jawatan timbalan speaker pertama, manakala jawatan timbalan kedua diisi calon dari Pheu Thai.

Dalam kenyataan bersama, MFP dan Pheu Thai berkata konsensus itu merupakan perpaduan dalam kalangan parti gabungan untuk membentuk kerajaan dan mencalonkan Pita sebagai perdana menteri.

Selepas memenangi 151 kerusi dan memperoleh lebih 14.2 juta undi, MFP dan tujuh parti lain membentuk gabungan dengan 312 daripada 500 kerusi di Dewan Rakyat.

Walaupun memperoleh jumlah yang menggalakkan, tidak ada jaminan gabungan pimpinan MFP akan dapat membentuk kerajaan kerana mereka perlu memperoleh 64 lagi undi daripada 250 senator.

Bagaimanapun, ramai senator menyatakan keengganan untuk mengundi Pita kerana agenda antipenubuhan MFP yang melibatkan cadangan pindaan undang-undang lese majeste atau dikenali sebagai Perkara 112 Kanun Jenayah, berhubung kesalahan menghina raja.

Memandangkan sejarah senator bersekutu dengan parti yang disokong tentera, ada kemungkinan Pita mungkin tidak mendapat sokongan yang mencukupi.

Pita juga sedang disiasat kerana melanggar peraturan pilihan raya.

- Bernama