Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M terima kunjungan Muhyiddin, bincang isu Melayu
Diterbitkan:  Jul 5, 2023 10:05 AM
Dikemaskini: 8:14 AM

Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan dengan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin malam tadi, dikatakan bagi berbincang berkenaan isu melibatkan orang Melayu.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu Khairuddin Abu Hassan yang turut hadir dalam pertemuan itu.

Pertemuan itu dibuat di rumah Dr Mahathir di Seri Kembangan, Selangor malam tadi dan berlangsung hampir dua jam.

Ia diadakan sehari selepas kunjungan Pengerusi PN Selangor Azmin Ali yang turut membincangkan isu orang Melayu.

"Pertemuan antara kedua tokoh pemimpin melayu yang sanggup ketepikan perbedaan politik lampau demi menjaminkan kelangsungan perjuangan untuk memperkasakan kedudukan anak bangsa di bumi bertuah ini harus diberi pujian melangit.

"Sifat terpuji Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menjadi satu sandaran baru kepada keseluruhan orang-orang melayu yang amat ‘dahagakan’ penyatuan atau perpaduan melayu secara mutlak," kata Khairuddin dalam kenyataan hari ini.

"Perjumpaan ikhlas antara dua tokoh pemimpin melayu ini bakal memberi semangat baru pada gerakan Proklamasi Orang Melayu," katanya lagi.

Muhyiddin dah Azmin adalah dua watak penting dalam Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu dipimpin Mahathir.

Mahathir berulang kali melabelkan Muhyiddin sebagai “pengkhianat” susulan tindakan pada Februari 2020 itu.

Pada awal bulan lalu, Mahathir dilaporkan berkata dia sedia bekerjasama dengan Muhyiddin jika kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat yang sama.

Sehari kemudian, Muhyiddin berkata dia menyambut baik kenyataan itu dan berkata dia juga bersedia untuk berbuat demikian demi "membela agama, bangsa dan negara".

Ketika ini Mahathir mengetuai gerakan Proklamasi Melayu, yang mendapat sokongan daripada Muhyiddin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Mahathir juga menyatakan dia kini menyokong Perikatan Nasional untuk pilihan raya enam negeri akan datang.

Lihat Komen
ADS