Saifuddin akan maklumkan nama pegawai JPN minta sogokan ke SPRM
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail hari ini berkata dia akan memaklumkan sendiri kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengenai nama pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dipercayai meminta sejumlah wang bagi kelulusan permohonan warganegara.
Saifuddin berkata, pegawai terbabit dikenal pasti selepas dia menerima aduan yang dibuat secara terus kepadanya.
“Hari ini saya akan serahkan nama kepada Tan Sri Azam (Baki) untuk bantu beliau buat siasatan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat kabinet di Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Isnin lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa Perhimpunan Bulanan Warga Jabatan Perdana Menteri dipetik sebagai berkata dua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri iaitu Jabatan Imigresen (Imigresen) dan JPN sedang disiasat berhubung amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pegawainya.
Katanya, dia menerima maklumat ada unsur salah guna kuasa di JPN apabila proses untuk mendapatkan sijil warga negara dikenakan bayaran.
Ditanya jika tindakan dalaman telah diambil terhadap pegawai berkenaan, Saifuddin berkata lebih banyak maklumat akan didedahkan selepas nama mereka diserahkan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/e56bc3b54c21079544cf2be8a20e3c04.jpg)
