Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Proklamasi Orang Melayu tak disentuh secara khusus, kata Muhyiddin
Diterbitkan:  Jul 5, 2023 4:08 PM
Dikemaskini: 8:08 AM

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin hari ini berkata pertemuan empat mata dengan Dr Mahathir Mohamad semalam tidak menyentuh soal Proklamasi Melayu secara khusus.

Pun begitu Muhyiddin menjelaskkan kedua-dua mereka bersetuju untuk memperkukuhkan kedudukan orang Melayu di negara ini dengan mempertingkatkan sokongan kepada PN dalam enam pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

"Alhamdulilah, pertemuan empat mata ini telah berjalan dalam suasana yang mesra dan saling hormat-menghormati antara kami berdua.

"Kami telah berbincang panjang lebar tentang kedudukan dan masa depan orang Melayu tanpa menyentuh Proklamasi Orang Melayu secara khusus.

"Pada dasarnya kami bersetuju untuk mengukuhkan perpaduan orang Melayu dan meningkatkan sokongan kepada PN khususnya dalam menghadapi pilihan raya di enam buah negeri tidak lama lagi," katanya dalam satu kenyataan media di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu pertemuan dua bekas perdana menteri itu dilaporkan berlangsung selepas hubungan mereka dilihat tegang seketika ekoran krisis politik yang membawa kepada jatuhnya kerajaan PH pada Feb 2020.

Mahathir merupakan pengerusi Bersatu dan Muhyiddin pula menjadi presidennya ketika Langkah Sheraton berlaku.

Krisis itu menyaksikan Mahathir dan beberapa pemimpin Bersatu membawa haluan lain dengan menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) manakala sebahagian besar yang lain kekal bersama Muhyiddin.

Butiran mengenai pertemuan Mahathir dan Muhyiddin semalam didedahkan Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu Khairuddin Abu Hassan yang turut hadir dalam pertemuan di di Seri Kembangan itu.

"Pertemuan antara kedua tokoh pemimpin melayu yang sanggup ketepikan perbedaan politik lampau demi menjaminkan kelangsungan perjuangan untuk memperkasakan kedudukan anak bangsa di bumi bertuah ini harus diberi pujian melangit.

"Sifat terpuji Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menjadi satu sandaran baru kepada keseluruhan orang-orang melayu yang amat ‘dahagakan’ penyatuan atau perpaduan melayu secara mutlak," kata Khairuddin dalam kenyataan hari ini.

Pertemuan tersebut menjadi lebih menarik perhatian apabila diadakan sehari selepas Pengerusi PN Selangor Azmin Ali menemui Mahathir.

Lihat Komen
ADS