Siasat unsur riba pinjaman PTPTN
Mufti Wilayah Persekutuan didesak menyiasat kadar empat peratus yang dikenakan terhadap pinjaman pelajar institut pengajian tinggi daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana diragukan berunsur riba.
"(Kami) cukup bimbang sekiranya ia (sistem pinjaman PTPTN) termasuk dalam amalan riba al-nasiah atau riba al-qard ," kata Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Muhammad Faisal Abdul Rahman dalam suratnya kepada mutfi berkenaan, Datuk Md Hashim Yahya.
"Menurut maklumat saya terima daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pinjaman PTPTN bukan merupakan pinjaman menggunakan konsep (Islam) qardul hasan yang diiktiraf dalam sistem muamalat (urus niaga) Islam."
Menurut surat itu yang bertarikh 10 Januari lalu, surat perjanjian antara pelajar dengan tabung pinjaman itu menyebutkan "pinjaman ini dikenakan kos pentadbiran sebanyak empat peratus setahun."
Bagaimanapun Faisal berkata dalam pertemuannya dengan PTPTN, badan itu memaklumkan kadar itu "bukan wang kos pentadbiran atau pengurusan" kerana badan itu dibiayai oleh kerajaan.
Menurut surat itu lagi, badan itu juga memaklumkan kadar itu "disimpan dan belum digunakan" dan "akan diperuntukkan untuk jangka masa panjang PTPTN."
Salinan surat itu ditujukan kepada Ketua Pengarah Jakim, Ketua Pengarah PTPTN dan Naib Canselor Universiti Malaya.
Faisal menjelaskan pelajar dikehendaki membayar semula pinjaman dalam tempoh 10 tahun dengan tambahan kadar empat peratus pada setiap tahun.
"Datuk (Hashim) sendiri mengesahkan pinjaman itu (mengandungi unsur) riba," dakwanya kepada malaysiakini , sambil menambah beliau telah menemui mufti itu untuk mendapatkan penjelasan.
Dalam pertemuan itu, Hashim berjanji akan membawa isu itu sehingga ke peringkat Majlis Fatwa Kebangsaan, selain berbincang dengan PTPTN, jelas Faisal lagi.
Malaysiakini gagal mendapatkan ulasan mufti berkenaan dan dimaklumkan beliau kini sedang bercuti.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.