Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH-BN dijadual lancar bersama jentera PRN di Selangor esok
Diterbitkan:  Jul 6, 2023 4:03 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

Pakatan Harapan (PH) dan BN dijadual melancarkan jentera pilihan raya peringkat negeri Selangor esok dengan kehadiran pemimpin utama parti-parti gabungan itu.

Sebelum ini, pada 24 Jun lalu, pelancaran jentera PH-BN gagal menjadi kenyataan apabila tiada kelibat pemimpin tertinggi gabungan tersebut.

Menurut jemputan media yang dikongsikan, "Karnival Perpaduan Madani" dan "Pelancaran Jentera Perpaduan" itu akan diadakan di laman niaga Bandar Baru Bangi, berhampiran Hotel Tenera.

Acara yang dijadual bermula sekitar jam tiga petang itu turut menyediakan jualan ehsan Rahmah (JER), trak makanan, program saringan kesihatan percuma (Saring Selangor), Selangor Kerjaya, Skim Mesra Usia Emas (SMUE) serta Skim Insuran Hayat Selangor (Insan).

Sementara itu, ucapan pemimpin politik dijangka bermula jam 8 malam.

Antara mereka yang dijadualkan hadir ialah Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, menteri besar sementara Selangor Amirudin Shari dan Pengerusi Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin.

Pilihan raya negeri yang dijadual berlangsung di enam negeri - Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan - pada 12 Ogos ini adalah yang pertama buat PH dan BN yang membentuk kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, rundingan kerusi dilaporkan tidak berjalan lancar dan percubaan untuk melancarkan jentera pilihan raya di peringkat negeri Selangor dua minggu lalu berdepan kesukaran.

Berdasarkan poster acara, Anwar, Ahmad Zahid, Amirudin, Megat  Zulkarnain dan setiausaha agung DAP, Anthony Loke serta presiden Amanah  Mohamad Sabu dijadual hadir.

Bagaimanapun, akhirnya, hanya Mohamad dan Amirudin Shari saja yang membuat penampilan.

Loke dilaporkan tidak dapat hadir kerana tidak sihat dan menghantar timbalan pengerusi DAP Gobind Singh Deo untuk mewakili kepimpinan parti.

Jurucakap Pejabat Menteri Besar Selangor pula mengesahkan bahawa perdana menteri tidak hadir ke majlis itu pada malam itu kerana dia perlu menangani perkara lain yang timbul pada "saat akhir".

Sementara itu, tiada kelihatan sebarang kelibat pemimpin BN pada majlis itu.

BN Selangor bagaimanapun berkata tidak timbul soal parti itu memulaukan acara 'Jelajah Mega Madani' di Dataran Kemerdekaan di Shah Alam pada malam Sabtu tersebut.

Sebaliknya, mengulas salah faham itu,  Megat Zulkarnain berkata PH dan BN telah merancang untuk melancarkan jentera kerajaan perpaduan di peringkat negeri Selangor dalam tempoh terdekat ini, dipercayai merujuk kepada program yang dianjurkan esok.

Lihat Komen
ADS