PKR hari ini mempelawa mana-mana anggota parti itu yang ingin menawarkan diri sebagai calon untuk menghantar borang pencalonan mereka.

Menerusi satu kenyataan, timbalan presiden parti itu, Rafizi Ramli berkata, bagi permohonan individu, mereka boleh mengisi borang dalam talian menerusi pautan www.calonkeadilan.org.

“Permohonan dibuka bermula hari ini (6 Julai) hingga tarikh tutup permohonan pada 10 Julai, 5 petang.

“Bagi permohonan organisasi, kepimpinan PKR di semua peringkat boleh menamakan calon yang telah dipersetujui di peringkat jawatankuasa masing-masing,” katanya.

Menurut Rafizi, nama-nama berkenaan kemudian akan diangkat kepada pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat.

Penamaan calon-calon oleh Cabang, Majlis Pimpinan AMK Pusat (MPAMK) atau Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) PKR pula, katanya, perlu dibuat secara rasmi dan disahkan melalui minit mesyuarat.

Dia berkata, pencalonan itu juga mesti ditandatangani oleh semua ahli mesyuarat yang hadir.

“Minit mesyuarat ini perlu diserahkan kepada jawatankuasa calon selewat-lewatnya pada 5 petang, 10 Julai depan.

"Antara syarat kelayakan yang perlu dipenuhi ialah individu yang memohon mestilah anggota PKR yang berusia 18 tahun ke atas, tidak muflis yang telah disahkan oleh Jabatan Insolvensi dan tidak memiliki rekod jenayah, selain daripada sabitan melibatkan kepentingan rakyat.

"Mereka juga mesti mengisytiharkan harta serta bersedia untuk menandatangani bon ikrar setia sebagai wakil rakyat PKR," katanya.

Mengenai proses saringan, Rafizi berkata PKR telah menetapkan proses saringan calon yang adil dan telus yang akan dikendalikan jawatankuasa calon dipengerusikannya selaku pengarah pilihan raya dan dianggotai semua naib presiden PKR iaitu seramai tujuh orang.

"Memahami sentimen pengundi yang mahukan parti menampilkan calon yang berkualiti, kita juga menetapkan proses saringan calon yang adil dan telus.

“Seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti, kuasa untuk memilih calon adalah hak mutlak presiden PKR.

“Justeru jawatankuasa calon bertanggungjawab untuk membuat penapisan dan menyenarai pendek tiga calon terbaik untuk diangkat kepada presiden PKR yang seterusnya akan memuktamadkan satu nama sebagai calon,” katanya.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pengundi di enam negeri iaitu di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan mengundi pada 12 Ogos ini.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai.