'Pekerja di Kelantan pun dapat lagi banyak hak berbanding di Sarawak'
Gabungan 60 kesatuan sekerja mengulangi seruan kepada kerajaan Sarawak untuk melaksanakan perlindungan terhadap pekerja di negeri itu sama seperti di Semenanjung Malaysia.
Seruan terbaru itu dibuat selepas pakar ekonomi Bank Dunia menyatakan negeri itu telah melepasi ambang pendapatan tinggi, bersama-sama Kuala Lumpur, Labuan dan Pulau Pinang.
"Adalah satu penghinaan bahawa pekerja di Kelantan, yang dikawal oleh PAS selama beberapa dekad, menikmati faedah dan perlindungan yang lebih baik berbanding pekerja di negeri pendapatan tinggi Sarawak," kata Gabungan Reformasi Undang-Undang Buruh (LLRC) Sabah dan Sarawak dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, menjawab pertanyaan wartawan hari ini, Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata pengkelasan diberikan Bank Dunia terhadap Sarawak sebagai negeri pendapatan tinggi bermaksud pembangunan ekonomi negeri itu berada di landasan yang betul.
Malay Mail melaporkan Abang Johari sebagai berkata pendapatan negeri itu meningkat secara ketara pada tahun 2022.
Wakil LLRC Sabah dan Sarawak, Andrew Lo, memberitahu Malaysiakini bahawa Ordinan Buruh Sarawak mempunyai kelompak mengenai hak-hak penting seperti definisi 'pekerja separuh masa' dan klausa yang menjadikan gangguan seksual sebagai jenayah.
"Klausa-klausa yang memberikan perlindungan yang signifikan kepada pekerja telah dilaksanakan di seluruh Malaysia pada tahun 2012 melalui pindaan kepada Akta Pekerjaan 1955," kata Lo.
Pindaan-pindaan yang lebih baru kepada akta tersebut, juga dikenali sebagai Akta 265, memperkenalkan penambahbaikan progresif yang meningkatkan hak pekerja kepada standard antarabangsa tetapi tidak dapat dinikmati oleh pekerja di Malaysia Timur.
Ini termasuk klausa seperti cuti bersalin selama 98 hari, cuti paterniti selama 7 hari, dan pengurangan jam kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam yang dilaksanakan pada tahun lepas.
Gabungan tersebut yang juga melibatkan NGO dan anggota Global Union Federations di Malaysia menyebut tindakan menangguhkan untuk menyamakan Ordinan Buruh dengan Akta 265 sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap hak-hak pekerja dan prinsip tanpa diskriminasi.
Pekerja di Malaysia tertakluk kepada tiga undang-undang berasingan iaitu untuk Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/11/0e74fb7512520e1785b1791f38aee564.jpg)
