Kesatuan Pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah dua kali memberipenerangan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan, Kementerian Sumber Manusia, berhubung isu kesatuan itu membantah pelantikan Timbalan Ketua Pengarah DBP yang baru, Kamarulzaman Shaharuddin.

Kamarulzaman dilantik menggantikan Mohamad Abu Bakar Januari lalu tetapi dibantah oleh kesatuan tersebut kerana dikatakan tidak mengikut syarat pelantikan.

Yang Dipertua Kesatuan Pekerja DBP, Hasni Abas, ketika dihubungi semalam berkata, pihaknya merujuk isu tersebut kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan untuk mencari penyelesaiannya.

Beliau memberitahu demikian ketika bertanya mengenai perkembangan terbaru berhubung isu tersebut.

"Saya dimaklumkan bahawa Jabatan Perhubungan Perusahaan sedang menyiasat kes ini berdasarkan akta-akta tertentu," katanya.

Hasni berkata, Kementerian Sumber Manusia pula mungkin memanggil ahli jawatankuasa yang terlibat dalam kenaikan pangkat Kamarulzamanuntuk memberi penjelasan mengapa bantahan kakitangannya tidak dihiraukan.

Beliau berkata, pihaknya telah membuat permohonan secara bertulis kepada Ketua Pengarah DBP, Datuk Firdaus Abdullah untuk mengadakan perjumpaan tetapi sehingga kini tiada jawaban.

DBP, katanya, telah mengedarkan surat untuk mempertahankan pelantikan Kamarulzaman sebagai wajar.

Sokong Hadi

Kesatuan Pekerja DBP membantah pelantikan Kamarulzaman kerana beliau merupakan kakitangan Kumpulan N, iaitu dari bahagian pentadbiran dan tidak mempunyai pengalaman dalam bidang kesusasteraan dan penulisan.

"Sedangkan syarat untuk menjadi ketua pengarah dan timbalan ketua pengarah DBP ialah mesti dari Kumpulan S, iaitu dari bahagian kesusasteraan," kata Hasni.

Berikutan itu, peguam kesatuan pekerja itu telah menghantar notis yang memberi tempoh sehingga 15 Mei ini kepada pihak pentadbiran DBP supaya menarik balik surat amaran kepada pekerja yang berpiket membantah pelantikan Kamarulzaman.

Setakat ini, katanya, kesatuan telah mendapat pandangan dari pakar undang-undang dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Kesatuan itu juga, katanya, berharap pihak yang bertanggungjawab, terutama Kementerian Pelajaran memandang serius perkara itu.

"Mereka harus mengambilkira pandangan kedua-dua pihak dan mempertimbangan sebab-sebab yang diberikan oleh kakitangan DBP.

Beliau berkata, sehingga ini kesatuan tidak ada cadangan untuk berpiket lagi.

Bagaimanapun, katanya, jika isu itu tidak selesai,mereka mungkin memakai pakaian putih dan melakukan sesuatu seperti berkabung sebagai tanda protes.