Parlimen akan bersidang dan mengadakan mesyuarat khas September ini untuk semakan pertengahan penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

RMK12 itu dibentangkan pada 2021 oleh perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob.

Menurut notis yang dihantar kepada ahli parlimen, semakan separuh penggal tersebut akan dibentangkan pada 11 September.

Perbahasan kemudiannya dijadualkan bermula 12 hingga 14 September, dan disusuli dengan jawapan menteri pada 18 dan 19 September.

Kajian semula itu diketuai oleh Kementerian Ekonomi, dengan menterinya, Rafizi Ramli mengadakan beberapa sesi keterlibatan menjelang mesyuarat khas itu.

Rafizi pada Mac lalu memberitahu Parlimen bahawa beberapa institusi antarabangsa seperti Bank Dunia terlibat dalam kajian semula itu.

RMK12 - yang merupakan rancangan lima tahun - dibentangkan oleh Ismail Sabri pada September 2021.

Pelan itu termasuk peruntukan RM400 bilion untuk projek pembangunan sedia ada dan baharu,

Terdapat juga matlamat untuk mencapai pendapatan purata isi rumah mencecah RM10,000 sebulan menjelang 2025, jurang yang mengecil antara KDNK Semenanjung Malaysia dan Sabah dan Sarawak serta pengurangan pelepasan gas rumah hijau.

Ia juga bertujuan memperkenalkan dasar yang hanya membenarkan ekuiti bumiputera dijual kepada individu, syarikat atau konsortium bumiputera.

Ketua pembangkang ketika itu Anwar Ibrahim dan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengkritik inisiatif pemerkasaan bumiputera di bawah RMK12 sebagai hanya menguntungkan kroni kaya.