4 lelaki ditahan disyaki seludup diesel bersubsidi
Polis menahan empat lelaki dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi membabitkan rampasan bahan api itu berjumlah 43,000 liter di sebuah stor di Jalan Sungai Rambai, Jenjarom pada 6 Julai lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @Saleh berkata kesemua suspek yang berusia antara 33 hingga 48 tahun itu ditahan kira-kira 3.40 petang selepas pihaknya mendapat maklumat berkaitan sebuah lori tangki minyak dalam keadaan mencurigakan di sebuah premis di sekitar kawasan kilang.
“Hasil pemeriksaan terhadap lori itu mendapati tangkinya dipenuhi kira-kira 25,000 liter cecair dipercayai diesel bersubsidi.
"Selain itu, satu lori jenis bonded, 18 tong minyak berisi diesel bersaiz 1,000 liter setiap satu tong dan satu mesin meter penyukat turut dirampas,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Ridhwan berkata jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM320,000.
Katanya sindiket tersebut dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lepas.
Semakan rekod lampau pula, katanya, mendapati dua daripada lelaki terbabit mempunyai rekod berkaitan jenayah serta dadah.
Katanya kesemua lelaki itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/968a9ecda9e5dbc8b64c552848fe5d59.jpg)
