Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Komitmen kerajaan bantu kurangkan beban kewangan Felda

Komitmen kerajaan dalam memberi jaminan sehingga RM9.9 bilion untuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menerbitkan sukuk dapat membantu mengurangkan beban kewangan organisasi itu.

Pengerusinya Ahmad Shabery Cheek berkata jaminan itu memberi makna yang besar kepada Felda dalam usaha agensi itu melaksanakan transformasi selain membantu menyempurnakan pelaksanaan pelupusan hutang peneroka.

“Di bawah kerajaan perpaduan, jelas wujud satu perjanjian bahawa kerajaan akan membantu Felda untuk membayar semula sukuk.

“Pengesahan kerajaan melalui jaminan ini menggembirakan Felda dan memberi kelegaan kepada seluruh warga Felda,” katanya kepada Bernama selepas program Ruang Bicara bertajuk Transformasi FELDA Memakmurkan Peneroka terbitan Bernama TV, malam tadi.

Minggu lepas, Kementerian Kewangan mengumumkan bermula tahun ini kerajaan menyalurkan peruntukan sehingga RM1 bilion setahun bagi membolehkan penebusan semula sukuk Felda yang antara lain membiayai hapus kira hutang peneroka.

Kementerian Kewangan turut memaklumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan menandatangani perjanjian melibatkan jaminan kerajaan kepada Felda untuk menstruktur semula pinjaman agensi itu dengan sebahagian besar melibatkan pengurangan prinsipal hutang Felda bersama institusi kewangan sebanyak RM7.9 bilion.

Perjanjian itu antara lain akan mengurangkan kos kewangan Felda terhadap kadar faedah yang dikenakan serta membolehkan Felda memberi pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion yang dilaksanakan pada 2021.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata Felda akan mula memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf kemampuan ekonomi digital di semua wilayahnya.

Kata Ahmad Shabery antaranya termasuk memastikan infrastruktur capaian internet dan kesalinghubungan di seluruh wilayah Felda dipertingkatkan supaya dapat menjana potensi e-dagang dan ekonomi gig.

“Perkara pertama yang saya akan lakukan sebagai pengerusi selepas ini ialah turun padang bagi melihat sendiri bagaimana keadaan infrastruktur telekomunikasi di seluruh kawasan Felda serta usaha yang boleh dilakukan bagi meningkatkan pemasaran produk Felda,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS