Cadangan pinda peraturan bukan mengenai pecat PM - Wan Junaidi
Yang di-Pertua Dewan Negara Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menegaskan saranan pindaan kepada Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat (Standing Orders) Dewan Rakyat bukanlah mengenai pengubalan undang-undang baru untuk pemecatan perdana menteri seperti yang dilaporkan beberapa media sebelum ini.
Sebaliknya kata Wan Junaidi saranan itu adalah bagi menggubal peraturan baru Dewan Rakyat untuk memberi ruang masa perbahasan usul tidak percaya dan usul mengemukakan pendakwaan atau pertuduhan (impeachment) oleh ahli parlimen tanpa melalui proses yang rumit dan panjang.
“Proses sedia ada untuk cadangan perbahasan usul di Dewan Rakyat bagi selain rang undang-undang kerajaan ialah melalui notis 14 hari atau lebih.
" Proses ini harus ditambah baik agar usul-usul lain selain rang undang-undang kerajaan yang menepati syarat perbahasan dan peraturan majlis mesyuarat mendapat keutamaan ruang masa dan dibincangkan secara komprehensif oleh ahli parlimen.
“Ini adalah bertepatan dengan komitmen saya kepada Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) bahawa saya akan menjalankan beberapa penambahbaikan dan pembaharuan proses tatakerja di parlimen semasa memegang jawatan Yang di-Pertua Dewan Negara,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai contoh, kata Wan Junaidi, dia juga ingin memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen yang akan membantu pentadbiran dan pengurusan di parlimen secara am.
“Ingin saya tegaskan di sini bahawa cadangan dan saranan penambahbaikan dan pembaharuan ini akan dibincangkan bersama Yang di-Pertua Dewan Rakyat di mesyuarat jawatankuasa bersama untuk pembaharuan parlimen yang bakal diadakan dalam masa yang terdekat,” katanya.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/df7431e50ff79377a6f3c1d415e44069.jpg)
