Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak tahan jadi pembangkang punca PN jaja isu pertukaran k'jaan - Umno

PN perlu berhenti "berbohong" serta menghasut rakyat kononnya akan ada pertukaran kerajaan di Putrajaya sekiranya parti itu menang besar dalam enam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Razlan Rafii, berkata pertukaran kerajaan tak akan berlaku berdasarkan beberapa faktor termasuk komitmen terbaru yang diberikan pemimpin Sabah dan Sarawak.

Menurut Razlan sebenarnya dia berpendapat PN tidak boleh bergerak lama sebagai pembangkang dan disebabkan itu gabungan terbabit berusaha dengan gigih untuk menggugat kerajaan yang ada kini.

"Jadi PN janganlah menghasut rakyat kononnya ada perubahan kerajaan pusat sekiranya kemenangan besar buat mereka.

"Mereka terus membuat dakwaan kononnya ada ahli parlimen ingin bersama mereka, tapi bila kita kira, tengok (keadaan semasa) dan semua tahu ada akta antilompat parti.

"Sama juga seperti Zuraida Kamaruddin kena saman dan diarah bayar RM10 juta kepada PKR.

"Kebanyakan parti memang mempunyai perjanjian dengan semua calon mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini PN memberi gambaran bahawa kerajaan pusat akan bertukar selepas PRN sekiranya mereka berjaya mencapai menang besar di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun ia dinafikan oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang menegaskan kerajaan pusat tidak akan berubah kerana anggapan tersebut sebagai tidak berasa sama sekali.

Razlan berkata PN perlu berhenti membuat dakwaan palsu bahawa mereka mempunyai peluang untuk menguasai kerajaan pusat selepas 12 Ogos nanti.

"Saya nasihatkan PN berhentilah membohongi rakyat, berhentilah membuat cacamarba kepada kerajaan hari ini," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS