Bekas menteri kanan Mustapa Mohamed memaklumkan dia tidak akan mempertahankan kerusi dewan undangan negeri (DUN) Air Lanas dalam pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

Dia yang sebelum ini dilantim menjadi menteri selama beberapa penggal semasa menjadi ahli parlimen Jeli mewakili Umno memaklumkan, dia sudah bersara daripada politik.

“Saya tidak bertanding pada PRN ini kerana saya sudah pencen,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini Mustapa merupakan antara ahli parlimen Umno yang dibawa menyertai kabinet melalui beberapa kementerian.

Antaranya Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Dia juga pernah menjadi anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Bagaimanapun ekoran kekalahan BN pada PRU ke-14 pada 2019, Mustapa - yang mempertahankan kerusi parlimen Jeli - mengumumkan penyertaannya ke parti Bersatu.

Dia meninggalkan Umno untuk menyertai Bersatu hanya kira-kira empat bulan selepas PRU berkenaan dan menjadi sebahagian daripada penyokong kerajaan PH.

Apabila Bersatu meninggalkan PH dan membentuk kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin, Mustapa dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal ekonomi.

Dia turut tidak bertanding dalam PRU ke-15 pada tahun lalu dan menyaksikan kerusi parlimen Jeli beralih tangan ke setiausaha politiknya, Zahari Kechik, yang mewakili PN.

Sementara itu Pengerusi Bersatu Kelantan Kamaruddin Md Noor berkata pihaknya sudah dimaklumkan keputusan yang dibuat Mustapa atau lebih mesra dipanggil Tok Pa itu.

“Tok Pa memaklumkan kepada semua - sama ada pimpinan PN Pusat atau negeri - bahawa beliau tidak bertanding atas faktor kesihatan.

“Justeru, kita akan menampilkan calon yang terbaik untuk mempertahankan kerusi DUN Ayer Lanas dan kerusi-kerusi lain,” katanya ketika dihubungi bagi mengesahkan perkara itu.