'Hey Sanusi, jangan kurang ajar!'
Pengerusi PH Selangor, Amirudin Shari, menyelar keras tindakan pemimpin kanan PAS-PN Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa terang-terangan menghina Sultan Selangor.
Sambil menyatakan rasa kesal yang dalam, Amirudin menganggap ucapan pengarah pilihan raya PAS-PN itu sebagai tidak wajar lagi kurang ajar.
"Dia (Sanusi) sampai hina Sultan Selangor... dia hina saya tak apa lagi.
"Saya cukup rasa sedih dia (Sanusi) kata Sultan Selangor. Hina pula Sultan Selangor kononnya Sultan Selangor tidak macam Sultan Kedah.
"Di sini (Bukit Melawati) tempat asal kesultanan negeri ini.
"Hey Sanusi, jangan kurang ajar! Orang Selangor akan ajar kamu, ajar PN pada 12 Ogos nanti," katanya dalam ceramah program Jelajah Madani peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati, Selangor, malam tadi.
Menteri besar sementara Selangor itu berkata demikian sebagai mengulas ucapan Sanusi dalam ceramah PN di Selayang kelmarin yang kemudian tular di media sosial sejak semalam.
Berdasarkan rakaman, menteri besar sementara Kedah terbabit dilihat menyentuh dan memperlekehkan perkenan Sultan Selangor terhadap pelantikan Amirudin sebagai menteri besar negeri itu.
Sanusi berkata, Sultan Kedah adalah lebih hebat kerana berasal daripada susur-galur yang sama dan tidak putus sehingga kini.

Tidak sekadar itu, Sanusi juga dilihat mempersendakan keadaan fizikal Amirudin.
"Bukan koman-koman (lekeh), sultan setara itu hangpa bayang dan tengok menteri besar (merujuk dirinya), sultan hebat macam itu tak akan pilih menteri besar cokia macam Amir (Amirudin). Inci pun tak berapa cukup," katanya disusuli ketawa besar dan kemudiannya menarik balik perkataan 'inci'
Perkataan cokia difahami sebagai merujuk perkataan digunakan untuk merendah-rendahkan orang atau sesuatu mengikut slanga digunakan masyrakat Utara.
Tak tegur, sekadar tepuk tangan
Sementara itu Amirudin yang sebelum ini menjadi Adun Sungai Tua berkata perbuatan Sanusi itu menggambarkan pihak pembangkang ketiadaan hujah yang bersandarkan angka dan fakta hingga mengheret institusi diraja dalam kempen politik mereka.
“Sebab itu mereka ini hanya bermimpi. Mereka sedang mainkan perasaan dan keyakinan mereka sendiri kononnya mereka boleh rampas Selangor," katanya.
Sementara itu melalui ciapan di Twitter Amirudin berkata penghinaan terhadap Sultan Selangor itu bukan kejadian pertama menyaksikan pemimpin PN - termasuk PAS - berkelakuan biadab terhadap raja-raja Melayu.
Malah dakwanya, perbuatan itu seolah-olah sebati dengan PN lantaran ketiadaan hujah berfakta dalam kempen politik.
"Inilah 'DNA' mereka. Kalau mereka tidak boleh lawan hujah berasaskan angka dan fakta, mereka akan hina fizikal lawan. Kemudian biadab dan celupar pada Raja-raja Melayu,” katanya.
Selain itu Amirudin turut kesal kerana tiada seorang pun pemimpin PN menegur perbuatan Sanusi sekalipun berada di atas pentas yang sama.
"Malah dipimpin oleh Pak Cik Min (merujuk kepada Pengerusi PN Selangor, Mohamed Azmin Ali), mereka bertepuk tangan menyokong kebiadaban Sanusi.
"Rakyat Selangor akan ingat ini, rakyat Selangor akan hukum para penderhaka ini," tegasnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/6fcbf8815c191d8207542a0a9a24c32f.jpg)
