Perbuatan menconteng wajah Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada papan iklan di beberapa kawasan sekitar Kedah, disifatkan perbuatan yang menjurus kepada permainan politik  ekstrem dan tidak sepatutnya berlaku.

Pengerusi BN Kedah, Mahdzir Khalid berkata, politik melampau seumpama itu membahayakan dan tidak boleh diberi tempat ketika era kemajuan teknologi terkini.

"Kalau kita tak suka pun, sentiasa ada had yang tidak boleh dilanggar. Sebab itu Ketua Polis Negara,  Razarudin Husain berkali-kali mengingatkan mengenai kenyataan 3R yang merujuk agama, kaum dan institusi raja agar tiada pihak yang melangkaui batas.

"Kita takkan aman kalau bawa politik melampau sebaliknya perlu sentiasa bersikap rasional. 

“Semua ini perlu bermula dengan kepimpinan tetapi kadang-kadang ada pemimpin buat kenyataan yang berbentuk menghasut,” katanya pada sidang media yang turut disertai barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Kedah di Bangunan Tunku di Alor Setar, hari ini.

Jelas Mahdzir, kebencian dalam politik perlu ada hadnya agar tidak membawa kemusnahan kepada negara.

Mahdzir Khalid

"Maka jangan salahkan pihak berkuasa kalau buat siasatan bawah Akta Hasutan. 

“Nak buat kerja menconteng bagi tunjukkan sikap ekstrem ini sudah tak boleh diterima kerana kita kini berada pada 2023 di mana orang semua bercakap tentang kecerdasan buatan (AI) dan dunia digital tetapi kita masih lagi nak bawa politik melampau," katanya.

Ketua Polis Kedah, Fisol Salleh hari ini memaklumkan, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan terhadap tindakan pihak tertentu menconteng serta merosakkan papan iklan memaparkan wajah perdana menteri.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 423 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Kejadian dikatakan berlaku di Kubang Pasu dan Kulim.

Mahfuz Omar

Sementara itu Pengerusi PH Kedah, Mahfuz Omar mendesak agar pihak polis segera mengambil tindakan kepada pihak yang melakukan perbuatan khianat itu.

"Ini satu perbuatan khianat yang tak boleh dibiarkan. Takkanlah kita nak ulang semula politik era 60-an atau 70-an pada zaman ini?

"Sepatutnya kita mengamalkan politik matang serta saling menghormati antara satu sama lain. Pihak polis harus segera menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pelakunya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Bernama memetik Mahdzir sebagai berkata lebih 30 peratus calon BN untuk PRN di negeri berkenaan adalah muka baharu.

“Kita ambil kira semua faktor yang boleh memberikan kemenangan, paling penting rakyat suka personaliti calon itu. Parti suka dan rakyat suka, campur dua itu sudah menjadi, rakyat dengan parti,” katanya.

Beliau menaruh keyakinan tinggi terhadap kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan yang dilihat sudah ada keserasian di peringkat akar umbi sekali gus menunjukkan gabungan politik dalam Kerajaan Perpaduan itu harmoni serta sepakat.

“Saya yakin bahawa (walaupun) gabungan ini baru lapan bulan tetapi sudah ada penyesuaian... kita ada tiga peringkat iaitu nasional, negeri dan di bawah (akar umbi),” katanya.