Jawatankuasa pemilihan calon DAP sebulat suara mengesahkan Chow Kon Yeow sebagai calon parti itu untuk jawatan ketua menteri Pulau Pinang sekiranya gabungan PH dan BN membentuk kerajaan negeri apabila menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
“Keputusan ini telah disampaikan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan beliau telah meluluskan keputusan ini selaku pengerusi Pakatan Harapan,” kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
Pengumuman ini sekali gus menghentikan spekulasi bahawa Chow akan diganti.
Chow, 64, ialah Adun selama empat penggal. Dia dilantik sebagai ketua menteri pada 2018 dan telah menyatakan hasrat untuk berkhidma bagi penggal kedua.
Jawatankuasa itu juga memutuskan akan ada "perubahan besar" bagi jawatan exco negeri yang disandang ahli DAP sekiranya pakatan Pakatan Harapan-BN diberi mandat untuk membentuk kerajaan negeri.
Loke berkata perubahan itu perlu untuk mengalihkan kepimpinan DAP Pulau Pinang kepada kumpulan yang "lebih muda dan dinamik" yang mampu membangunkan Pulau Pinang dengan lebih pesat.
Jawatankuasa pemilihan itu terdiri daripada pengerusi DAP, Lim Guan Eng; timbalan pengerusi, Gobind Singh; naib pengerusi Nga Kor Ming dan M Kulasegaran.
Loke berkata jawatankuasa pemilihan masih memikirkan senarai akhir calon DAP untuk pilihan raya negeri akan datang.
“Semua calon DAP akan diumumkan selewat-lewatnya seminggu sebelum hari penamaan calon (29 Julai),” kata Loke.
Menurutnya, kepimpinan tertinggi DAP juga memutuskan untuk membuat pembaharuan besar dalam barisan exco kerajaan negeri yang mewakili DAP.
"Proses pembaharuan ini adalah satu keperluan untuk memastikan kesinambungan dan kelangsungan kepimpinan DAP di Pulau Pinang yang lebih muda, dinamik dan berupaya untuk menerajui dan memimpin Pulau Pinang ke arah yang lebih maju dalam semua bidang demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat," katanya.
Loke berkata, senarai penuh calon yang akan mewakili DAP dalam PRN kali ini akan diputuskan oada mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Calon yang seterusnya pada minggu hadapan.
"Semua calon DAP akan diumumkan selewat-lewatnya seminggu sebelum Hari Penamaan Calon," katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, DAP memenangi 19 kerusi DUN di Pulau Pinang, diikuti rakan komponen dalam PH, iaitu PKR dengan 14 kerusi dan Amanah dengan dua kerusi. Bersatu yang ketika itu bersama PH juga memenangi dua kerusi.
BN pula menyandang dua kerusi, kedua-duanya melalui Umno, manakala PAS menang hanya satu kerusi.
