Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Elaun minimum RM800 buat pelatih industri di sektor kerajaan, GLC

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa  pelatih yang menjalankan latihan industri di kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan menerima elaun perantisan minimum sekurang-kurangnya RM800 sebulan.

“Cadangan ini diberikan kepada saya oleh (seorang) pelajar tingkatan enam. 

“Walaupun kita perlu input daripada pakar-pakar ekonomi tapi kadang-kadang pelajar tingkatan enam beri cadangan yang baik dan kita mesti perhalusi,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini. 

Bagaimanapun, Anwar tidak mengumumkan tarikh permulaannya.

Perdana Menteri berkata, meskipun secara tradisi pelatih industri tidak menerima sebarang bayaran, namun elaun adalah penting terutama bagi mereka yang idak berkemampuan dan miskin.

"Jadi untuk permulaan, intern (pelatih industri) memang tiada bayaran, itu betul dan ini untuk pendedahan, tetapi ada yang mereka datang daripada keluarga miskin.

"Malah, dalam beberapa dialog saya di universiti, mereka merayu sudah habis belajar, tiada lagi pinjaman dan bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Jadi mereka terpaksa bergantung kepada ibu bapa. Justeru, untuk kerajaan dan syarikat GLC, elaun perantisan RM800 sebulan untuk semua pelatih industri," katanya.

Anwar juga menyeru sektor swasta untuk membayar elaun kepada pelatih mereka.

‘Paksa dengan rela’

Pada sidang media berasingan, Ahmad Maslan melahirkan harapan agar semua GLC melaksanakan dasar ini berkuat kuasa serta-merta.

“Ini paksa rela, bila kerajaan dah umumkan, GLC di bawah kerajaan, dianggap satu perkara yang patut dilaksanakan GLC. 

Untuk lain, syarikat swatsta tunggu pengumuman budget nanti,” katanya.

Ditanya jika ini akan memberi kesan kepada GLC dengan pengumuman mengejut itu, Ahmad berkata ia tidak akan memberi banyak kesan kerana tidak ramai pelatih yang diambil bekerja oleh mereka.

Dia turut mengesahkan Bajet 2024 akan dibentangkan pada 13 Oktober tahun ini.

Belanjawan secara tradisinya dibentangkan pada Jumaat terakhir bulan Oktober.

“Selalunya minggu keempat, tak ada salahnya kita mendahulukan seminggu awal daripada biasa.

“Sebab ada banyak mungkin perkara yang akan sebelum budget dan selepas budget yang dibentangkan berhubung RUU macam-macam.

“Jadi nak berikan lebih masa,” katanya.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan lebih 200,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang dikategorikan sebagai miskin tegar berdasarkan data e-kasih akan menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARa) sebanyak RM600 mulai Isnin ini, bagi mendapatkan keperluan barangan makanan asas.

Anwar berkata pemberian itu merupakan antara pengumuman yang dibuat menerusi aspek Perlindungan Sosial Untuk Rakyat Memerlukan sebagai langkah awal merealisasikan Naratif Ekonomi Madani sebelum pembentangan Belanjawan 2024 Oktober depan.

“Kerajaan telah menyediakan STR untuk meringankan kos sara hidup rakyat. 

“Perincian berhubung program SARa akan diumumkan dalam masa terdekat,” kata beliau yang juga menteri kewangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS